Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

Bek pula dilanda krisis selepas menang 4-0 (Utusan Malaysia Online)

PETALING JAYA - Perayaan Deepavali tahun ini mungkin yang paling suram buat jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal apabila berdepan krisis kecederaan pemain yang semakin parah.

Yang terbaru, seorang lagi pemain pertahanan, Nasriq Baharom dijangka menambah lagi senarai pemain yang terpaksa digugurkan ke Sukan Asia selepas mengalami kecederaan di lutut kiri pada perlawanan persahabatan berdepan Maldives di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Walaupun belum pasti sejauh mana tahap kecederaan Nasriq, isyarat yang diberikan oleh Rajagobal cukup meresahkan kerana menyedari krisis di bahagian pertahanan semakin parah selepas kehilangan Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Sabre Mat Abu.

''Dalam mana-mana kejohanan pun tambahan sebesar Sukan Asia, pertahanan adalah bahagian terpenting di dalam satu pasukan tetapi apabila saya berhadapan masalah sebegini, saya mungkin terpaksa bergantung kepada pemain muda.

''Berdasarkan apa yang diberitahu oleh fisioterapi kepada saya, terdapat bunyi di bahagian lutut selepas diterjah oleh pemain Maldives di dalam kotak penalti.

''Insiden itu sudah cukup merisaukan saya, saya akan berbincang dengan fisioterapi dan tengok sejauh mana seriusnya kecederaan Nasriq sebelum membuat keputusan membawa 20 pemain ke Sukan Asia esok (hari ini).

''Saya sudah tidak mempunyai pilihan lain kerana senarai 30 pemain termasuk tujuh yang cedera(tidak termasuk Zaquan Adha dan Bunyamin) telah didaftarkan ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan kami perlu menggunakan pemain yang ada dalam senarai,'' katanya yang ditemui sejurus tamat perlawanan.

Jika Nasriq terlepas ke Sukan Asia, senarai kecederaan akan bertambah kepada 10 pemain selepas Aidil, Sabre, Zaquan Adha, Azmi Muslim, Farizal Marlias, Sharbinee Allawee, Bunyamin Omar, Gary Steven Robbat dan Baddrol Bakhtiar hampir pasti digugurkan.

Malaysia mudah membenam Maldives 4-0 dalam aksi persahabatan terakhir sebelum berangkat ke Guangzhou pada 5 November ini.

Safee Sali membuka tirai jaringan skuad negara pada minit ke-14 sebelum S. Chanturu menggandakan kelebihan pada minit ke-35 untuk meletakkan kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama.

Harimau Malaya semakin selesa pada separuh masa kedua apabila penyerang Perlis, Ahmad Fakri Saarani memberikan gol ketiga pada minit ke-79 selepas menerima hantaran dari Ashaari Samsudin.

Pemain Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal membuktikan Maldives bukan tandingan Malaysia apabila menambah gol keempat melalui larian solo sebelum tenang menewaskan penjaga gol Maldives.

Khairul Fahmi Che Mat yang baru sahaja meraih anugerah penjaga gol dan pemain muda terbaik membuktikan pemilihannya tepat selepas cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Maldives pada minit ke-86.

Biarpun keputusan cemerlang memihak kepada Malaysia, Rajagobal mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi Kyrgyzstan pada 8 November ini.

''Berdasarkan perlawanan hari ini, saya lihat pemain perlu lebih pantas membuat keputusan dalam masa yang singkat

''Tumpuan mereka juga masih perlu diperbaiki kerana kerap kehilangan bola dan kesalahan itu harus dielakkan kerana ia membolehkan lawan mendapatkan ruang untuk menyerang, '' katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...