Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

Annuar beri petanda lepas jawatan Presiden KAFA (Utusan Malaysia Online)


Annuar Musa (tujuh dari kiri) bersama para pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor


PETALING JAYA – Bagaikan misi besar sudah terlaksana, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, memberikan petanda bahawa beliau sudah bersedia melepaskan ‘baton’ kepada orang baru sekiranya ada calon lain menawarkan diri.

Malah, beliau bersedia memberikan masa kepada jawatankuasa pengurusan KAFA dan ahli-ahli yang lain memikirkan calon yang sesuai bagi menggantikannya jika ada yang berkelayakan.

Annuar berharap calon yang menggantikan tempatnya kelak mampu meneruskan legasi bola sepak Red Warriors pada masa hadapan.

‘‘Jawatan saya sepatutnya akan tamat tempoh dalam masa empat hari lagi tetapi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tidak boleh dijalankan dalam bulan ini kerana terdapat masalah teknikal mengikut perlembagaan baru yang tidak dipenuhi.

‘‘Mesyuarat itu dijangka dijalankan pada akhir Disember ini, namun saya bersedia melepaskan jawatan kepada sesiapa sahaja antara mereka yang berminat dan rasa layak menerajui KAFA.

‘‘Kalau boleh, mereka yang mahu mengambil kerusi saya, harus mempunyai idea-idea baru untuk mempertingkatkan lagi kemajuan bola sepak negeri Kelantan. Mungkin selepas ini saya boleh memberikan tumpuan penuh kepada FAM, ’’ katanya.

Ditanya mengenai pemberian bonus kepada para pemain Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia, Annuar memberitahu, dia akan memberitahunya kelak selepas semua pemain meraikan kejayaan bersama peminat di seluruh Kelantan.

‘‘Buat masa ini, biarlah dahulu, saya bukan jenis orang yang suka memberitahu mengenai bonus selepas kita menjuarai satu-satu kejohanan, tunggulah... mungkin selepas 6 November nanti apabila kita sudah mempersembahkan di Istana Diraja Kelantan,’’ katanya yang ditemui selepas hadir ke Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM, semalam.

Bagi memantapkan persiapan skuad Kelantan pada musim hadapan, beliau sudah merangka strategi membawa pemain ke luar negara dan destinasinya dijangka sekitar Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

‘‘Mereka semua akan ke sana pada penghujung November, sebulan sebelum tirai Liga Super dibuka.

‘‘Khidmat B. Sathianathan selaku jurulatih akan dikekalkan tetapi ia semua bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM, sekiranya keputusan enam bulan itu kekal, kami mungkin terpaksa memikirkan langkah lain kerana untuk mendaftar pasukan, kami memerlukan seorang jurulatih berkelas A,’’ jelasnya.

Pada masa sama, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membayangkan pada tahun 2012 akan berlaku transformasi besar-besaran pada saingan Liga Malaysia.

‘‘Saya memberikan peringatan kepada semua pasukan, akan berlaku banyak perubahan besar pada tahun 2012, bukan sahaja dalam peraturan pemain import tetapi mengenai jumlah pasukan dalam saingan Liga Super dan peraturan lain.

‘‘Pengurusan dan Exco FAM akan membuat penelitian dalam soal ini untuk mempertingkatkan lagi mutu liga yang dilihat sekarang mempunyai kualiti permainan yang tidak seberapa,’’ jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...