Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

3 pemain senior lengkap skuad ke China (Utusan Malaysia Online)

PETALING JAYA - Teka-teki tiga pemain senior yang bakal dibawa jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal ke Sukan Asia Guangzhou terjawab selepas Norhafiz Zamani Misbah, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha melengkapkan senarai 20 pemain.

Menurut Rajagobal, masalah kecederaan pemain terutama sekali di bahagian pertahanan menjadi sebab utama mengapa dia memilih Norhafiz untuk dibawa ke Sukan Asia sekali gus melantik pemain KL Plus itu sebagai ketua pasukan.

"Bagaimanapun kami tetap optimis dan saya mahu pemain terus mempamerkan aksi meyakinkan dalam setiap perlawanan di Guangzhou nanti, seterusnya melakukan perkara yang sama dalam Kejohanan AFF pada Disember ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, ketiga-tiga pemain senior yang bakal beraksi nanti juga dipilih melalaui senarai 30 pemain yang didaftarkan dalam skuad kebangsaan.

"Saya tidak mahu menjadikan jadual yang padat sebagai satu sebab mengapa pemain mudah mengalami kecederaan, sebaliknya pemain juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri sendiri," kata Rajagobal yang juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang dibelenggu kecederaan lutut.

Ditanya mengenai kesebelasan pemain yang bakal diturunkan menjelang perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan, Isnin depan, bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu berkata, dia tidak menganggap 11 pemain sahaja yang perlu diharapkan dalam misi ini, sebaliknya kesemua 20 pemain adalah penting.

"Saya mahu mereka pergi ke sana (Guangzhou) beraksi sebaik mungkin tanpa ada perasaan takut, walaupun bakal berdepan China dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan, kita tidak seharusnya beraksi secara defensif.

"Secara berterus-terang saya katakan persiapan ke Sukan Asia tidak mencukupi bagaimanapun kita harus menerimanya dan bukan menjadikannya sebagai satu alasan," kata Rajagobal.

Selain Aidil, skuad kebangsaan kehilangan pemain tengah Selangor, Bunyamin Omar, Zaquan Adha Abd. Radzak, Mohd. Sabre Mat Abu, Baddrol Bakhtiar, Mohd. Nasriq Baharom, Farizal Marlias, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan Azmi Muslim.

"Saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan tetapi corak permainan mereka sudah pasti sama seperti negara Eropah yang menggunakan kelebihan fizikal, sementara China dan Jepun kita sudah tahu tentang corak permainan mereka," katanya.

Malaysia akan menentang Jepun pada perlawanan kedua pada 10 November ini sebelum bertemu China pada 13 November.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...