Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, October 26, 2010

Wan Jamak mahu anak buah fokus final (Harian Metro Online)

WALAUPUN persiapan skuad Kelantan mungkin sedikit terganggu susulan penggantungan jurulatih, B Sathianathan yang mungkin memberi kesan terhadap moral pemain, namun Negeri Sembilan tidak menyifatkannya memberi kelebihan menjelang final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Sebaliknya, jurulatih Wan Jamak Wan Hassan mahu anak buahnya fokus kepada persiapan menghadapi perlawanan akhir itu kerana cabaran yang bakal dihadapi dijangka lebih hebat berbanding musim lalu yang menyaksikan Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1 untuk menjulang trofi itu selepas 61 tahun menunggu.

Amanat penting itu diberikannya berdasarkan beberapa faktor terutama kebangkitan dan keazaman tinggi pemain Kelantan yang mahu menebus kehampaan tahun lalu dan membawa trofi berprestij itu ke bumi Che Siti Wan Kembang.

Begitupun, pengendali berpengalaman itu menyuarakan rasa lega terhadap persiapan menjelang saingan itu berikutan dijangka akan menurunkan barisan terbaik selepas semua pemain dilapor cergas.

Ia termasuk kapten pasukan, Rezal Zambery Yahya yang tidak beraksi pada separuh akhir kedua di Stadium JCorp Pasir Gudang Johor Sabtu lalu yang dijangka beraksi semula selepas kecederaan kakinya hampir 100 peratus pulih.

Kehadiran Rezal dalam senarai kesebelasan utama Negeri Sembilan amat diharapkan kerana dia perancang utama selain pembimbing pemain muda.

“Kecederaan Rezal tidak begitu serius dan ada kemungkinan dia boleh beraksi Sabtu ini dan saya harap dia dapat diturunkan bagi memastikan kekuatan pasukan berada pada tahap maksimum untuk menyempurnakan misi menewaskan Kelantan dan mempertahankan Piala Malaysia.

“Kami tidak menghadapi masalah menurunkan semua pemain tetapi Negeri Sembilan tidak punya ramai pemain hebat kerana beberapa pemain yang ada seperti Norizam Salaman, L Ragesh dan K Thanaraj selain penyerang muda seperti Mohd Shaffik Abd Rahman, Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Asyraf Al-Jafri, belum terbukti kemampuan mereka.

“Saya hanya menyandarkan harapan kepada beberapa pemain termasuk Idris Karim dan Shahurain Abu Samah di barisan depan walaupun itu bukan posisi sebenar mereka selepas Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak) terpaksa berehat panjang. Apapun hanya pemain mempamerkan prestasi terbaik serta berpengalaman yang bakal berada dalam senarai utama Sabtu nanti,” kata Wan Jamak.

Bekas pengendali kebangsaan itu mahu anak buahnya tenang menghadapi saingan kemuncak piala berprestij itu kerana ia penting bagi memastikan mereka tidak mengalami tekanan ketika turun mempertahankan reputasi dan kejuaraan.

Beliau yakin pemain menyedari persiapan yang perlu mereka lakukan yang menagih komitmen serta semangat berpasukan yang tinggi.

“Walaupun cabaran kali ini tidak seperti tahun lalu tetapi saya yakin mereka sudah tahu kekuatan Kelantan kerana sudah empat kali bertemu sepanjang saingan Liga M musim ini dan lebih mustahak mereka lebih fokus serta berusaha kekalkan prestasi untuk beraksi pada tahap keupayaan sebenar di final,” katanya lagi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...