Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 30, 2010

Tiga misi Khairul (Harian Metro)

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mempunyai tiga misi penting untuk dilaksanakan sekiranya berada dalam kesebelasan utama apabila turun menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Selain memastikan gawangnya kekal tidak dibolosi sejak saingan suku akhir, pemain berasal dari Kota Bharu itu juga bersemangat untuk memastikan Kelantan mendakap Piala Malaysia untuk kali pertama.

Dia juga pasti mahu mempamerkan persembahan baik bagi memikat hati jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk merebut tempat utama sebagai penjaga gol ke Sukan Asia Guangzhou, China yang berlangsung bulan depan selepas kecederaan dialami penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee.


Namun, pemain berusia 21 tahun itu belum mahu memikirkan tugasan kebangsaan itu kerana mahu memberikan sepenuh perhatian pada penampilan pertamanya di pentas akhir menentang juara bertahan, Negeri Sembilan yang menewaskan Kelantan 3-1 tahun lalu.

“Walaupun gembira ke perlawanan akhir, saya berasa sedikit gugup kerana ia menjadi penampilan pertama di perlawanan akhir.


“Sebagai persediaan, saya turut mendapat nasihat daripada pemain berpengalaman lain seperti Halim Napi yang beraksi pada perlawanan akhir tahun lalu bagi mengatasi tekanan dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan kami kecewa,” katanya.

Menurut Khairul Fahmi lagi, semangat dirinya kini bertambah selepas tidak dibolosi sejak suku akhir ketika menentang dua pasukan terbaik Liga M iaitu Selangor (suku akhir) dan Kedah (separuh akhir).

“Keyakinan saya juga bertambah dengan persembahan mantap dipamer barisan pertahanan yang banyak mengekang asakan lawan sekali gus memudahkan tugas sebagai benteng terakhir,” jelasnya.

Posisi terakhir skuad The Red Warriors itu hampir pasti menjadi milik Khairul Fahmi selepas mempamerkan aksi konsisten berbanding pesaingnya yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...