Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 30, 2010

Red Warriors selesa turun selaku underdog (Utusan Malaysia)


KOTA BHARU - Pengendali pasukan The Red Warriors, B. Sathianathan mengakui Negeri Sembilan yang bakal ditentang pada perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini sememangnya pakar dalam pertandingan merebut piala.

Menurut Sathianathan, skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan telah mempamerkan sentuhan ajaib setiap kali beraksi dalam perlawanan akhir apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia tahun lalu dan Piala FA musim ini.

"Bagi saya mereka sebuah pasukan yang hebat dan mempunyai ramai pemain berpengalaman dan hebat. Walaupun mereka tidak beraksi dengan baik dalam saingan Liga Super lalu.

"Namun untuk saingan merebut piala, mereka telah berjaya membuktikan mereka sebenarnya sebuah pasukan yang hebat," katanya.

Tambahnya, walaupun ramai yang mengatakan Kelantan pasukan pilihan termasuk pihak lawan, namun dia tetap menganggap Red Warriors bukan pasukan pilihan pada perlawanan akhir kali ini.

"Kelantan bukanlah pasukan pilihan, sebaliknya Negeri Sembilan layak digelar sebagai calon untuk juara," ujarnya.

Jelasnya, dia lebih selesa sekiranya Kelantan dilabel sebagai pasukan bukan pilihan.

"Untuk perlawanan akhir malam esok (ini), kita akan turun dengan status 'underdog'. Untuk itu saya harap pemain dapat mempamerkan aksi terbaik seperti yang mereka tunjukkan pada perlawanan sebelum ini.

"Kalau ditanya peluang, ia terbuka luas kepada Kelantan dan saya yakin pemain akan memberikan yang terbaik untuk memastikan kita menjadi juara kali ini," jelasnya.

Sathianathan menambah, buat masa ini semua pemain berada dalam keadaan baik dari segi fizikal dan mental dan tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan esok (malam ini).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...