Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, October 22, 2010

Pilihan Shebbie (Harian Metro Online)

Oleh Lokman Zainal Abidin

KELEBIHAN sudah pasti milik skuad tuan rumah tetapi pengulas serta pengkritik sukan, Serbegeth Singh masih enggan menyebut Johor FC sebagai salah satu pasukan yang bakal beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia sebaliknya beliau lebih senang mengandaikan saingan merebut piala paling berprestij itu adalah di antara Negeri Sembilan dan Kelantan.

Johor FC menang 1-0 hasil jaringan Mohd Ezaidy Khadar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada perlawanan separuh akhir pertama malam kelmarin manakala Kelantan yang bertandang ke Stadium Darulaman, Alor Star pula berjaya mengikat tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Sekali imbas, pertemuan kedua di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam esok sudah pasti menjadi milik Johor FC dan Kelantan pula sudah terlalu kerap membuktikan gelanggang Stadium Sultan Mohamed Ke-IV begitu keramat dan skuad Red Warrior itu dilihat terlalu kebal setiap kali aksi di tempat sendiri.


Atas dasar itulah, Johor FC dan Kelantan dianggap bakal mengisi slot ke perlawanan akhir musim ini dan bukan sedikit yang mengakui fakta itu. Selain kelebihan selaku tuan rumah, Johor FC turut mempunyai satu alasan paling kuat ke perlawanan akhir - mahu menjadi pasukan bertaraf kelab kedua yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas Selangor MPPJ pada 2003.

Bagaimanapun, Serbegeth Singh lebih dikenali sebagai Shebbie itu memilih Negeri Sembilan dan Kelantan sebagai dua pasukan yang bakal mencorak aksi perlawanan akhir dan beliau menjadikan soal pengalaman sebagai jurang pemisah paling ketara di antara Negeri Sembilan dengan Johor FC.


“Kita lupakan dulu soal Kelantan. Bagi saya, adalah satu malapetaka besar andai Kelantan gagal ke perlawanan akhir kerana mereka memang memiliki kelebihan pada perlawanan kedua nanti. Kelantan sudah membuktikan mereka memang hebat di tempat sendiri dan lihat saja keupayaan mereka ketika menundukkan Selangor pada suku akhir lalu.

“Apa yang lebih menarik diperkatakan sekarang ialah mengenai pertemuan Johor FC dan Negeri Sembilan kerana bagi saya, menang di Seremban bukanlah tiket untuk Johor FC mendapat laluan mudah walaupun beraksi di tempat sendiri pada perlawanan kedua hari Sabtu nanti,” katanya.

Faktor dijadikan alasan utama Shebbie memilih Negeri Sembilan melangkah ke perlawanan akhir ialah pengalaman dan puluhan peluang yang dicipta skuad Rusa itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin sudah cukup menceritakan betapa kesungguhan dimiliki barisan anak buah jurulatih Wan Jamak Wan Hassan itu.

“Bagi saya, peluang Johor FC dan Negeri Sembilan untuk ke perlawanan akhir adalah 50-50. Johor FC hanya mempunyai kelebihan di atas kertas tetapi berdasarkan banyak faktor terutamanya pengalaman, saya rasa Negeri Sembilan lebih layak untuk ke perlawanan akhir. Bukan saya mahu memandang rendah keupayaan Johor FC tetapi ia berdasarkan fakta.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...