Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, October 28, 2010

'Orang lama' tidak rela piala terlepas ke Kelantan (Kosmo Online)


ORANG lama dalam skuad Negeri Sembilan, dari kiri, Rezal, Shukor, Hong Aik dan Idris.


'ORANG lama' dalam skuad Negeri Sembilan tidak rela Piala Malaysia terlepas ke tangan Kelantan. Mereka mahu pastikan kemenangan memihak kepada Negeri Sembilan apabila skuad yang mendapat jolokan Hoben Jang Hoben itu akan turun membuat perhitungan dengan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Rezal Zambry Yahya, 32, Idris Karim, 34, Muhammad Shukor Adan, 32, dan Ching Hong Aik, 37, adalah tonggak paling berpengalaman dalam skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu dan mereka berazam untuk mempastikan piala berprestij itu kekal di bumi Negeri Sembilan.

Pemain yang sudah bergelar 'otai' dalam skuad Hoben Jang Hoben ini mengakui Kelantan akan tampil sebagai pasukan pilihan pada 'final ulangan' ini tetapi ia tidak menjejaskan misi mereka untuk terus mempertahankan Piala Malaysia.

Menurut Rezal yang juga kapten pasukan, semua pemain hanya mempunyai satu matlamat pada perlawnaan ini.

"Kami akan turut menentang Kelantan habis-habisan dan mahu mengulangi kejayaan yang sama seperti tahun lalu.

"Perasaan dan suasana inilah yang kami lalui tahun lalu dan atas semangat berpasukan yang tinggi kami tetap bersama dan bersedia menghadapi perlawanan Sabtu ini.

"Kita akan lenyapkan impian The Red Warriors yang mempunyai misi untuk membalas dendam atas kekalahan mereka musim lalu. Kita akan pertahankan Piala Malaysia untuk kali kedua," kata Rezal ketika ditemui selepas sesi latihan mereka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban semalam.

Dia juga mengakui tugas untuk mempertahan gelaran bukan satu tugas yang mudah, namun mereka sudah bersedia menghadapi apa juga cabaran yang bakal diharungi.

Bagi Idris yang sudah tiga kali beraksi dalam final Piala Malaysia berkata: "Saya yakin, meskipun dengan kehadiran ramai pemain muda di dalam skuad Negeri Sembilan ia tidak akan menjejaskan persembahan mereka di Bukit Jalil nanti.

"Perasaan gemuruh pasti ada apabila berdepan dengan ribuan penyokong pada malam itu, tetapi mereka mesti mampu mengawal perasaan tersebut demi mengecap kejayaan."

Shukor yang akan bertindak sebagai tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abd. Radzak berkata, tidak semua pemain berpeluang beraksi sehingga ke final dan sebagai seorang pemain senior dia akan sentiasa memberi kata-kata perangsang kepada pemain muda untuk mempamerkan keyakinan.

Bagi Hong Aik yang merupakan pemain paling senior beranggapan tugas Negeri Sembilan mempertahankan gelaran juara sebenarnya lebih sukar berbanding Kelantan yang mahu bergelar juara.

"Macam-macam boleh berlaku di final, tetapi kami akan terus berjuang untuk mempertahankan piala berprestij ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...