Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, October 22, 2010

Menang di Paroi lonjak moral Johor FC (Utusan Malaysia Online)


Pemain Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah (kanan) mengasak penjaga gol Johor FC, Mohd. Anis Faron dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.


SEREMBAN - Sebelum perlawanan, tiada siapa berani meramalkan peluang Johor FC untuk menewaskan juara bertahan, Negeri Sembilan yang beraksi di laman sendiri, kelmarin.

Apatah lagi skuad Rusa tampil dengan reputasi gah kerana belum kalah dalam saingan Piala Malaysia, sebaliknya Johor FC hanya menang sekali dalam 12 pertemuan terakhir berdepan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, ketika saingan memasuki minit ke-89 dan penonton menjangkakan keputusan seri, pemain gantian, Mohd. Ezaidy Khadar membuatkan 30,000 penyokong setia Hobin Jang Hobin tergamam, selepas bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.

Keputusan itu membuatkan jurulatih Johor FC, Azuan Zain tersenyum lebar, sambil mengakui dia tidak menyangka keputusan itu mampu dicapai oleh para pemainnya, sebaliknya hanya mensasarkan keputusan seri.

"Keputusan ini merupakan bonus buat Johor FC. Rahsia kejayaan kami pada malam ini kerana para pemain bekerja sebagai satu pasukan dan mendengar arahan yang saya berikan.

''Saya menggunakan formasi 3-4-3 ketika melakukan serangan dan bertukar ke formasi 4-5-1 apabila kehilangan bola.

"Saya gembira kerana pemain berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan,'' katanya.

Azuan, yang mengambil alih tugas jurulatih dari Ramlan Rashid pada Ogos lalu menambah, percaturan berani menurunkan tiga pemain yang masih belum cergas sepenuhnya, membuahkan hasil.

"Eddy Helmi Manan, Mohd. Khairul Ismail dan Mohd. Rashid Aya sebenarnya baru pulih daripada kecederaan, tetapi saya terpaksa mengambil risiko dan ia akhirnya membuahkan hasil, '' katanya.

Sekalipun menang, Azuan enggan memikirkan pentas final kerana baginya, masih ada 90 minit perlawanan yang perlu difikirkan di Pasir Gudang.

"Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan seorang pakar taktikal dan berpengalaman dalam mengharungi situasi sebegini.

"Cuma saya harapkan, para pemain agar tidak dibuai mimpi, kerana Negeri Sembilan masih berpeluang memusnahkan harapan kami ke Bukit Jalil, '' katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi esok di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada perlawanan separuh akhir kedua, esok.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...