Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 20, 2010

Kijang tak mahu kecewa lagi (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain

KETUA pasukan Kelantan, Indra Putra Mahyuddin tidak mahu episod duka disingkirkan Kedah pada saingan Piala FA berulang apabila kedua-dua pasukan itu sekali lagi bertemu di peringkat separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Perancang tengah berusia 29 tahun itu menambah kekecewaan itu menambahkan lagi keazaman rakan sepasukannya untuk menyingkirkan naib juara Piala FA itu.

“Kita perlu mengambil pengajaran ketika tersingkir di pusingan kedua Piala FA apabila Kedah menutup peluang Kelantan untuk mara ke peringkat suku akhir walaupun terikat 1-1 secara agregat namun tewas kerana peraturan gol di tempat lawan,” jelasnya.

Bekas pemain kebangsaan itu juga berharap agar aksi bertenaga yang mereka pamerkan ketika menewaskan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor 3-0 di Kota Bharu dapat diulangi kerana Kedah juga adalah salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai piala berprestij itu.

“Kekuatan Kedah adalah mereka sudah bermain bersama-sama sejak beberapa tahun lalu selain mempunyai lima atau enam pemain kebangsaan di dalam pasukan itu seperti Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhyameen Zambri.

“Jadi kami harus berwaspada dengan tahap persefahaman tinggi yang dimiliki oleh mereka,” katanya yang turut mengingatkan rakan sepasukan bahawa Kedah adalah pasukan tunggal yang menewaskan Kelantan di dalam saingan Liga Super.

Mengenai persiapan pasukan The Red Warriors itu, Indra berkata semuanya berjalan seperti biasa namun mungkin ada perubahan dari segi taktikal akan diberikan oleh jurulatih B.Sathianathan bagi menghadapi skuad Kenari bimbingan jurulatih Ahmad Yusof itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...