Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, October 17, 2010

Kelantan padam ego Selangor (Sinar Harian)

KOTA BHARU - Ramalan awal Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan bahawa Selangor berdepan laluan sukar, akhirnya menjadi kenyataan setelah anak buah K E Devan tersungkur mudah dalam aksi perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam.

Dalam perlawanan malam semalam, The Red Warriors mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir setelah menyingkirkan pasukan Selangor menerusi kelebihan agregat 3-0.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau berbangga dengan persembahan bertenaga anak buahnya yang yang berjaya memadamkan keegoan pasukan Selangor dalam memburu tiket ke peringkat separuh akhir.

“Pemain menunjukkan persembahan yang baik. Mereka bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk memenangi perlawanan itu. Saya fikir pujian harus diberikan kepada mereka. Bukan mudah untuk menewaskan Selangor.

“Begitu pun, persembahan pasukan Kelantan belum sampai ke kemuncaknya. Kita boleh bermain lebih baik daripada malam semalam. Masih ada beberapa kesilapan kecil, namun saya harap pemain saya dapat mengubahnya dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Apa yang penting, kita dapat lihat barisan pemain kita bermain sebagai satu pasukan. Jika seorang pemain melakukan kesilapan, pemain yang lain cepat-cepat membantu. Ini yang dikatakan semangat bekerja satu pasukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sathianathan berkata, beliau begitu berbangga dengan pasukan kendaliannya yang disifatkan tidak bergantung kepada kehebatan individu semata-mata dalam mengharungi satu-satu perlawanan.

“Ramai pihak yang gusar mengenai ketiadaan Norshahrul (Idlan Talaha). Namun anda dapat lihat gandingan Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) cukup berbisa malam semalam. Sebelum ini pun, ramai yang mempertikaikan kedua-dua pemain ini yang dikatakan penumpang dalam pasukan. Saya kenal pemain ini kerana saya yang bertanggungjawab membawa mereka bermain bersama Kelantan.

“Prestasi Akmal Rizal kini berada di kemuncaknya. Tidak salah saya katakan bahawa Akmal Rizal merupakan salah seorang penyerang yang paling digeruni di negara kita. Dalam masa dua minggu saingan Piala Malaysia ini, saya tetap mengharapkan sumbangan bermakna daripada kedua pemain ini,” katanya.

Sementara itu, Sathianathan memuji semangat yang ditunjukkan penyokong setia Kelantan yang memberi sokongan padu tanpa membabitkan insiden buruk dalam perlawanan tersebut.

“Saya tak nampak penyokong baling-baling mercun lagi. Saya fikir penyokong Kelantan sudah mengambil iktibar daripada kejadian lalu. Saya ucap tahniah kepada penyokong Kelantan dan berharap mereka akan sentiasa berdiri teguh di belakang kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...