KOTA BHARU 24 Okt. – Kelantan yang akan bertemu Negeri Sembilan pada final Piala Malaysia di Bukit Jalil, 30 Oktober ini tidak rela isu penggantungan ketua jurulatihnya B. Sathianathan bakal merencatkan semangat pemain untuk meraih kejuaraan merebut piala berprestij itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, inilah masanya buat pemain “menghadiahkan” kemenangan kepada Sathianathan yang banyak berkorban untuk pasukan itu dengan membenam skuad “hoben jang hoben”.
"Kelantan akur dengan penggantungan (Sathianathan) dan saya yakin moral pemain Kelantan sama sekali tidak terjejas sebagaimana ditunjukkan sewaktu menewaskan Kedah 1-0.
"Sebab itu peluang kali kedua bertemu Negeri Sembilan di final, pemain perlu bersemangat tinggi dan buktikanlah kepada Sathia akan kemampuan kita di Bukit Jalil nanti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir kedua antara Kelantan dan Kedah di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di sini, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Kelantan menang bergaya menewaskan pasukan Kenari 1-0 hasil sepakan sudut pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-79. – Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.