Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, October 22, 2010

Kedah sukar di KB (Utusan Malaysia Online)

ALOR SETAR - Skuad Kedah seharusnya gusar apabila beraksi di Kota Bharu esok jika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darul Aman kelmarin, dijadikan ukuran.

Pasukan bimbingan Ahmad Yusoff itu melepaskan peluang untuk mencari kelebihan pada pertembungan pertama, apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Meskipun semangat mereka disuntik dengan kehadiran kira-kira 25,000 penyokong, skuad Sang Kenari kurang bertenaga untuk mencari bekalan selesa pada perlawanan separuh akhir kedua di Kota Bharu, esok.

Keputusan itu menyukarkan misi mereka kerana di Kota Bharu, Sang Kenari bukan sahaja berdepan Sang Kijang, bahkan berpuluh ribu penyokong 'Wira Merah' yang bakal memenuhi Stadium Sultan Muhammed IV.

Bagaimanapun, skuad Hijau Kuning masih mempunyai 90 minit untuk 'melakukan sesuatu' bagi merealisasikan impian mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat musim Piala Malaysia.

Mahu atau tidak, Kedah perlu berusaha memastikan perlawanan separuh akhir kedua esok, sekurangnya-kurangnya berkesudahan dengan keputusan seri dengan jaringan gol.

Ini kerana format pertandingan menggunakan jaringan gol di tempat lawan bagi menentukan pemenang.

Berdasarkan format itu juga, jika Kedah dapat menjaringkan gol, ia pasti memberi tekanan kepada Kelantan, kerana mereka tiada pilihan selain memenangi perlawanan itu selepas gagal merobek gawang Sang Kenari di gelanggang lawan.

Ahmad mengakui pasukannya berdepan tugas getir di Kota Bharu, tetapi menganggap ia bukan misi mustahil untuk menundukkan Kelantan.

Katanya, pada perlawanan kelmarin, selepas kehilangan empat tonggak, rentak permainan Kedah sedikit terganggu, apabila seorang lagi pemain pertahanan utama di posisi kiri, Azmin Muslim terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-11 akibat kecederaan.

"Para pemain seakan terkejut dengan keadaan itu tetapi kemudian dapat menyerap tekanan dan mengimbangi perlawanan," katanya.

Ahmad berkata, sekembalinya dua tonggak iaitu Sabree Abu dan Khairul Helmi Johari, ia akan memantapkan lagi kesebelasan Kedah dan percaya pemain mampu melakukan yang terbaik untuk ke perlawanan akhir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...