Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 20, 2010

Kedah pakar dalam babak kalah mati (Utusan Malaysia Online)


Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof (kanan) memantau anak buahnya melakukan latihan di Stadium Darul Aman, semalam menjelang pertemuan menentang Kelantan, malam ini. - UTUSAN/Kamal Basir


ALOR SETAR - Jika dilihat rekod Kedah dalam saingan Liga Malaysia sejak empat musim lalu, skuad Hijau Kuning boleh dianggap sebagai pasukan yang mempunyai kelebihan khususnya apabila perlawanan memasuki fasa kalah mati.

Walaupun menempuh musim suram tahun lalu, prestasi Sang Kenari sebelum itu begitu konsisten apabila muncul juara treble berganda dengan merangkul gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2007 serta 2008.

Tahun ini, meskipun sekadar menduduki tangga kelima Liga Super, namun skuad bimbingan Ahmad Yusof itu membuktikan keupayaan mereka apabila berjaya melangkah ke babak akhir Piala FA.

Justeru, dengan pengalaman luas kem Hijau Kuning menempuh saingan peringkat kalah mati, ia bukan satu misi yang terlalu sukar baginya untuk mencari bekalan selesa pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, malam ini.

Rekod empat pertemuan pada musim ini juga sedikit memihak kepada Kedah apabila menang satu perlawanan dan selebihnya mencatat keputusan seri.

Cabaran paling besar yang perlu dihadapi Sang Kenari menjelang perlawanan itu ialah menguatkan barisan pertahanannya selepas kehilangan beberapa tonggak di posisi tersebut.

Barisan kejurulatihan Kedah perlu melakukan percaturan terbaik khususnya melibatkan posisi bek kanan dan tengah selepas V. Thirumurugan dan Fazliata Taib dikatakan masih cedera manakala Khairul Helmi Johari pula digantung perlawanan.

Seorang lagi tonggak, Sabre Mat Abu yang sering bermain di posisi tengah bertahan turut terlepas aksi perlawanan berkenaan akibat mengumpul dua kad kuning.

Namun, ketiadaan mereka tidak seharusnya menjejaskan persembahan Sang Kenari yang bakal bermain di hadapan puluhan ribu penyokongnya kerana mereka memiliki pemain simpanan yang sentiasa bersedia memberikan aksi terbaik di atas padang.

Selain kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Kedah juga dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang dengan Kelantan di bahagian serangan apabila dua penggempurnya, Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zamri semakin mempamerkan peningkatan khususnya dalam tiga perlawanan terakhir Hijau Kuning.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din bagaimanapun menyifatkan peluang Kedah dan Kelantan adalah terbuka, malah pasukan yang dapat memberi persembahan terbaik memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...