Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, October 19, 2010

KAFA kesan penjualan tiket palsu (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesan penjualan tiket palsu dipercayai didalangi sindiket tertentu, semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dengan Selangor di Stadium Sultan Muhammed IV di sini Sabtu lalu.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mengesan penjualan tiket palsu itu berikutan pertambahan mendadak bilangan penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

Beliau berkata, KAFA telah menjual 22,000 keping tiket pada malam tersebut yang kesemuanya habis dijual.

"Pihak yang mendalangi kegiatan memalsukan tiket tersebut dipercayai membuat salinan dari tiket asal sebelum dijual di pasaran gelap.

"Malah, tiket palsu itu juga dijual dengan harga yang lebih mahal untuk mengaut keuntungan lebih," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Namun, katanya, apa yang menjadi persoalan ialah bilangan penonton dalam stadium yang begitu ramai, selain masih ramai yang memegang tiket tetapi tidak dapat menyaksikan perlawanan.

Jelasnya lagi, pihaknya sukar mengesan penggunaan tiket palsu itu yang dipercayai dipasarkan pada hari sama tiket asal dijual, selain kehadiran penonton yang ramai menyukarkan pemeriksaan dilakukan.

Tambah Annuar, KAFA juga mendapati ada di kalangan penonton yang cuba memasuki stadium dengan menggunakan tiket perlawanan musim lalu dan 2008.

Dalam pada itu, Annuar turut mempersoalkan penggunaan kod bar pada tiket-tiket perlawanan yang dijual kerana siasatan awal yang dijalankan mendapati, ia dibuat sekadar untuk memenuhi syarat tanpa sebarang fungsi.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan ketiadaan mesin mengimbas di pintu-pintu masuk bagi membolehkan KAFA mengesan penggunaan tiket palsu.

"Saya akan membawa perkara tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperbaiki kelemahan dalam urusan pengeluaran tiket (pada masa akan datang)," ujarnya.

Sementara itu, Annuar berkata, bagi mengelak kejadian serupa berulang semasa pertemuan antara Kelantan dan Kedah pada saingan separuh akhir dijadual 23 Oktober ini, pihaknya akan mengadakan pemeriksaan lebih ketat di kaunter-kaunter tiket dan pintu-pintu masuk.

Katanya, pemeriksaan itu perlu bagi memastikan hanya penonton yang mempunyai tiket dikeluarkan oleh KAFA, memasuki stadium.

"Ia juga bagi mengelak berlaku sebarang insiden tidak diingini," katanya.

ARKIB : 18/10/2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...