Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 30, 2010

Jangan tertekan (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain

KETEPIKAN perasaan bimbang akan melakukan kesilapan kerana ia menyebabkan pemain cenderung melakukan lebih banyak kesilapan.

Ingatan itu disuarakan ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin kepada pemain skuad The Red Warriors yang pertama kali turun beraksi di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Bekas pemain kebangsaan itu percaya kekalahan pada perlawanan akhir musim lalu kepada pasukan sama adalah kerana kebanyakan pemain Kelantan tidak pernah merasai pengalaman beraksi di perlawanan akhir selain di kelilingi puluhan ribu peminat fanatik.

“Saya menasihatkan rakan-rakan supaya jangan tertekan dengan kehadiran penonton yang ramai sebaliknya bermain seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia kecewa pada tahun lalu selepas kecundang 3-1 kepada Negeri Sembilan yang turut menghampakan kira-kira 60,000 penyokong setia Kelantan yang membanjiri Stadium Nasional.

“Kali ini saya bertambah yakin Kelantan akan menjulang Piala Malaysia untuk kali pertama,” katanya yang pernah memenangi Piala Malaysia pada tahun 2000.

Mengenai ketiadaan Azizi Mat Rose dan S Subramaniam di barisan pertahanan akibat kecederaan, Indra Putra berkata, kehilangan dua tonggak tengah itu dirasai namun dia percaya setiap pemain mempunyai kelebihan apabila diberi peluang beraksi pada final itu.

Sejak Piala Malaysia mula dipertandingkan pada 1921, Kelantan belum memenanginya walaupun tiga kali layak ke final iaitu pada 1955, 1970 dan tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...