Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 20, 2010

Gara-gara penyokong, Selangor-Kelantan tanggung padah (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Gara-gara sikap buruk penyokong, Selangor dan Kelantan menerima padah apabila masing-masing didenda atas insiden perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Kedua-duanya, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menanggung denda berjumlah RM115,000.

Mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskannya semalam dan jumlah tersebut meliputi denda RM50,000 setiap pasukan serta kos kerugian RM15,000 yang perlu dikongsi kedua-duanya akibat tindakan penyokong.

Lebih malang, tuan rumah, Selangor dikenakan denda tambahan RM10,000 kerana kawalan keselamatan yang tidak kemas sebelum dan selepas perlawanan tersebut berlangsung.

Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Dr. Omar Othman berkata, denda yang dikenakan kepada dua pasukan itu sebagai pengajaran untuk lebih bertanggungjawab kepada penyokong mereka pada perlawanan selepas ini.

''Keputusan yang kami buat ini dibuat selepas menilai laporan daripada kedua-dua pasukan, pihak polis serta pihak stadium dan kami dapati tindakan wajar dikenakan kepada Selangor dan Kelantan.

''Kami berpendapat ciri-ciri keselamatan dalam stadium juga tidak kemas terutama daripada segi pemeriksaan kepada penyokong yang masuk ke dalam stadium sehingga menyebabkan barang larangan seperti mercun boleh dibawa masuk,'' kata Omar yang mempengerusikan mesyuarat khas tersebut di Wisma FAM, semalam.

Omar diberi kuasa sementara untuk membuat keputusan agar lebih adil dalam mesyuarat itu bagi menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Ali yang juga adalah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Pada perlawanan 12 Oktober lalu penyokong Selangor dan Kelantan didapati terlibat dalam pergaduhan di dalam dan luar stadium, malah adegan membaling botol dan mercun juga berlaku sewaktu perlawanan sedang berlangsung.

Dalam pada itu, Omar berkata, bermula sekarang pihak FAM akan mengenakan tindakan yang lebih tegas kepada pasukan yang melanggar syarat ditetapkan bagi mengelakkan insiden serupa berlaku lagi.

''Antara tindakan tegas yang kita akan lakukan selepas ini ialah menggantung perlawanan bagi pasukan yang terlibat untuk beberapa tempoh.

''Kami tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan kerana harapan kami mahu setiap pasukan dapat mengikut peraturan yang telah ditetapkan,'' jelas Omar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...