Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 16, 2010

Bola sepak satu budaya (Kosmo Online)




JIKA anda berada berhampiran hospital bersalin Montevideo, Uruguay, kedengaran jeritan suara bayi-bayi kecil menangis sekuat hati. Eduardo Galeano yang merupakan penulis tersohor Uruguay menggambarkan teriakan bayi-bayi kecil itu menunjukkan keghairahan negara tersebut terhadap sukan bola sepak.

"Jeritan itu menunjukkan bayi-bayi yang baru dilahirkan sedang menjerit gol!" kata Galeano yang merupakan peminat setia sukan bola sepak dalam dokumentari televisyen mengenai sukan berkenaan di Uruguay.

Sukan bola sepak Uruguay kecil sahaja tetapi keghairahan terhadap sukan berkenaan amat besar.

Bahkan, sebuah kelab divisyen pertama, Rampla Juniors yang diasaskan di Aduana negara berkenaan dikatakan mempunyai padang bola sepak terluas di dunia kerana anda tidak boleh melihat tempat duduk penonton dari kerusi penonton bertentangan.

Dengan pemandangan Montevideo merentasi teluk berlatar belakang langit biru, padang bola sepak yang terletak di tepi sungai itu hanya mempunyai dua tempat duduk utama untuk penonton menyaksikan sukan kegemaran mereka.

Pada masa dahulu, tendangan bola yang melambung tinggi ke udara dengan angin kuat mampu membuatkan bola berkenaan tersasar ke dalam sungai. Malah seorang pendayung akan sentiasa bersedia mengutip bola berkenaan dengan penuh sabar menggunakan sampan untuk memastikan perlawanan dapat diteruskan semula.

Hector Moran, yang pernah bermain bersama pasukan Nacional mengalahkan PSV Eindhoven dari Belanda pada perlawanan akhir Piala Antara Benua 1988 menggambarkan kemuraman mengenai pendapatan yang diperoleh pemain-pemain liga domestik negara berkenaan.

"Sebanyak 70 peratus pemain bola sepak di Uruguay tidak hanya bermain sukan kegemaran mereka tetapi terpaksa mencari pendapatan lain. Gaji amat rendah dalam liga domestik," katanya yang kini bekerja bersama kesatuan pemain ketika ditemuramah Reuters.


STADIUM Centenario pernah menjadi saksi Uruguay menjulang Piala Dunia pertama pada tahun 1930.


"Kita mengenali pemain-pemain yang bekerja pada waktu malam dan akan menjalani latihan bola sepak keesokan harinya. Pendapatan minimum bagi pemain-pemain divisyen pertama adalah sebanyak AS$1,100 (RM3,400) manakala pemain divisyen kedua pula adalah AS$549 (RM1,699).

"Pendapatan purata pemain-pemain di kelab pertengahan seperti Defensor dan Liverpool pula adalah di antara AS$1 (RM3) sehingga AS$1,990 (RM6,157) .

"Bola sepak di Uruguay adalah sesuatu yang luar biasa. Di mana-mana sahaja di dunia ini anda akan berjumpa dengan pemain Uruguay kerana mereka mempunyai teknik bermain bola sepak yang baik. Pemain-pemain ini akan memberikan persembahan yang terbaik di mana-mana sahaja mereka berada.

Juara kelab dunia

Pengulas radio El Espectador, Ricardo Pineyrua memberitahu: "Kejayaan bola sepak negara ini tidak melibatkan isu ekonomi sebaliknya ia adalah satu budaya.

"Uruguay sering menjadi calon untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia dan ia adalah fakta. Ini kerana daripada 11 kejohanan yang disertai Uruguay, pasukan kebangsaan telah berjaya menduduki tempat keempat hampir separuh daripada pembabitan dalam Piala Dunia.

Dengan kira-kira 3.5 juta penduduk, Uruguay dilihat mempunyai kekurangan apabila berdepan negara jiran yang mempunyai penduduk lebih besar seperti Brazil dan Argentina.

Dua kelab ternama liga tempatan Penarol dan Nacional yang masing-masing pernah menjadi juara Amerika Selatan sebanyak lapan kali dinobat sebagai juara kelab dunia beberapa kali turut menggunakan modal sedikit untuk terus beroperasi.

Kebanyakan kelab terbaik pula hanya mempunyai padang yang kecil seperti liga bawahan di negara kuasa bola sepak Eropah.

Stadium Centenario yang terkenal selepas menjadi lokasi perlawanan akhir edisi pertama Piala Dunia pada tahun 1930 hanya mampu menarik 5,000 penonton apabila Penarol beraksi menentang kelab-kelab kecil.


PEMINAT setia Rampla Juniors setia menyaksikan perlawanan kelab kesayangan mereka di Stadium Olimpico, Uruguay.


Bagaimanapun, apabila melibatkan perlawanan klasik di antara Penarol dan Nacional ia akan dipenuhi dengan penonton yang mencecah sehingga 60,325.

Bekas jurulatih dan pemain tengah Uruguay, Juan Ramon Carrasco percaya negara berkenaan boleh mengekalkan reputasi sebagai antara pasukan terbaik dunia sekiranya menggunakan taktik menyerang.

"Sudah tentu anda boleh membawa lebih banyak wang dalam sukan bola sepak tetapi ia adalah isu lain," katanya sebelum memberi pandangan bagaimana Uruguay patut bermain bola sepak.

"Saya bermain sebagai pemain tengah penyerang dan sentiasa mempunyai sikap bahawa pasukan kami bermain dengan 11 pemain lawan," kata Carrasco.

Carrasco, 54, memberi nafas baru dalam permainan bola sepak Uruguay awal dekad lalu bersama pasukan kecil, Fenix dengan mengenengahkan strategi serangan.

Falsafahnya membantu Carrasco menjawat jawatan ketua jurulatih Uruguay tetapi terpaksa melepaskan kerusi panas berkenaan. Walaupun strategi serangan yang ditekankan Carrasco merubah permainan Uruguay tetapi bahagian pertahanan masih lemah.

Kejayaan pasukan

Dia turut merasakan penglibatan Carrasco bersama pasukan River Plate Montevideo banyak menyumbang kepada kejayaan pasukan kebangsaan pada Piala Dunia yang berlangsung di Afrika Selatan baru-baru ini.

"Uruguay telah mengharungi Piala Dunia yang sangat baik. Peminat-peminat turut membuat tuntutan selepas apa yang kami telah melakukan di River Plate, rakyat sentiasa dahagakan permainan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak menarik dan berkesan."


KANAK-KANAK pengutip bola melalui terowong yang menghubungkan bilik persalinan dan padang di Stadium Olimpico.


Sementara itu, pegawai akhbar Rampla Juniors, Marcos Paredes, memberitahu, kelab berkenaan berkembang bersama komuniti pendatang-pendatang Eropah yang menaiki bot mencari rezeki dalam industri pengeluaran daging lembu di kawasan bukit Montevideo.

Kelab berkenaan yang mempunyai stadium berkapasiti 6,000 penonton dinamakan Olimpico oleh seorang dermawan berbangsa Yunani masih mengekalkan suasana pekan kecil kerana pasukan itu merupakan sebahagian daripada komuniti di kawasan tersebut.

"Oscar El Maestro Tabarez, jurulatih yang bertanggungjawab membawa Uruguay memasuki peringkat separuh akhir pada Piala Dunia di Afrika Selatan merupakan guru besar di sekolah tempatan. Saya juga belajar di sekolah berkenaan," kata Paredes.

Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF), Sebastian Bauza, berminat untuk meneruskan momentum kecemerlangan Uruguay dalam Piala Dunia dan mengekalkan Tabarez selama empat tahun lagi sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

"Uruguay merupakan antara empat negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak bawah-17, bawah-20 dan Piala Dunia. Ia sangat penting untuk sekali lagi memberi impak dalam penglibatan Piala Dunia," kata Bouza.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena