Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, October 30, 2010

Akmal janji aksi terbaik (Utusan Malaysia)




Akmal Rizal Ahmad Rakhli


KOTA BHARU - Suatu ketika dahulu nama Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir dilupakan oleh peminat sukan bola sepak di negara ini selepas mengalami kecederaan yang memaksanya berehat panjang.

Namun, sebaik sahaja menyarung jersi keramat The Red Warriors, kelibat Akmal Rizal di atas padang menjadi perhatian dan sebutan di kalangan peminat setia pasukan tersebut.

Beraksi bersama Kelantan, Akmal yang jarang-jarang diturunkan bagaikan mendapat sentuhan ajaib apabila mempamerkan kebangkitan sebaik sahaja aksi Piala Malaysia dimulakan.

Enam gol yang diledakkan sepanjang kempen Piala Malaysia membuktikan anak kelahiran Jitra, Kedah ini masih memiliki sentuhan berbisa, malah status sebagai penjaring terbanyak yang dipegang setakat ini membuatkan kelibatnya digeruni lawan.

Bermula dengan jaringan ketika aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus mencatatkan nama selaku pencetak utama The Red Warrios.

Terakhir jaringannya ketika Kelantan menewaskan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di Kota Bharu 3 Oktober lalu membangkitkan semangatnya untuk membantu Kelantan membawa pulang piala berprestij itu ke Kota Bharu.

Akmal Rizal ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia mahu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Menurutnya, pentas perlawanan akhir malam ini cukup istimewa, kerana ia adalah pentas akhir yang pertama buat dirinya sepanjang bergelar pemain profesional.

"Jadi saya mahu menghadiahkan kejuaraan pertama Piala Malaysia diri saya sendiri, pasukan dan penyokong setia Kelantan.

"Namun begitu, semuanya terletak di bahu ketua jurulatih sama ada mahu menyenaraikan saya sebagai pemain utama atau tidak. Sebagai pemain, saya akan mengikut segala percaturan yang telah ditetapkan.

Tambahnya, beraksi di hadapan lebih 50,000 peminat setia tidak memberikan tekanan buat dirinya, malah Akmal menganggap ia akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan aksi terbaik.

"Saya sudah biasa dengan keadaan tersebut kerana apa yang lebih utama saya mahu memberi fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan," ujarnya.

Ditanya adakah dia membuat kesilapan menyarung jersi Kelantan, Akmal menafikannya, malah tidak berasa kesal.

Sebaliknya, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Kelantan yang masih percaya sentuhannya.

"Apa yang saya buat ini adalah satu keputusan yang sangat tepat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...