Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, October 28, 2010

Aidil nadi benteng NS (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PENGALAMAN Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di pentas antarabangsa mahupun pada saingan domestik ditagih Negeri Sembilan untuk mengekang asakan penyerang Kelantan ketika kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada final Piala Malaysia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Aidil, 23, diakui antara pemain pertahanan kebangsaan mantap berjaya dilahirkan Negeri Sembilan dan pada final itu, keupayaan mengawal benteng bakal menjadi antara faktor penentu misi skuad Hoben Jang Hoben mempertahankan kejuaraan.

Aidil, abang kembar Mohd Zaquan Adha, bertekad memastikan benteng pasukan kebal daripada ditembusi penyerang lawan yang dijangka melakukan serangan bertali arus ke kubu Negeri Sembilan untuk menebus kekecewaan tewas 1-3, pada final tahun lalu.


Dia yang bergandingan dengan Tengku Qayyum Ubaidillah, bersedia menggalas tugas sebaik mungkin seperti mana kepercayaan diberikan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dan berazam beraksi cemerlang bagi memastikan reputasi dan maruah pasukan dipertahankan.

“Saya akui tugas ini lebih mencabar berbanding tahun lalu berikutan barisan penyerang Kelantan kali ini lebih berwibawa membabitkan Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad dan Norshahrul Talaha.

“Namun saya bersedia melakukan tugas dengan baik dan tidak berdepan masalah bergandingan dengan Tengku Qayyum untuk pertahankan benteng kerana kami bukan kali pertama bertemu Kelantan dan berdepan barisan penyerang mereka.

“Kami termasuk penjaga gol Sani Anuar Kamsani akan pastikan mereka berdepan laluan sukar untuk melepasi benteng dan seterusnya menjaringkan gol,” katanya semalam.

Aidil berkata, walaupun ramai memilih Kelantan sebagai pasukan pilihan, dia berasa kecil hati kerana mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad bimbingan B Sathianathan itu selepas bertemu sebanyak empat kali sepanjang saingan Liga M musim ini dengan rekod pertemuan memihak kepada Negeri Sembilan.

Justeru, dia yakin pemain Negeri Sembilan mampu membendung impian besar Kelantan yang berazam merampas trofi Piala Malaysia kali ini.

Dia yang turun buat kali ketiga pada pentas final berjanji memberikan tumpuan sepenuhnya bagi membalas kepercayaan pengurusan dan peminat untuk melakar sejarah gemilang merangkul trofi kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

“Saya akan menggunakan sebaik mungkin pengalaman untuk membantu pasukan mencapai kemenangan dan berharap misi kami direalisasikan Sabtu ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena