Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, September 19, 2010

Wayne Rooney punca Manchester United malap (Utusan Malaysia)

WAYNE Rooney pastinya bukan David Beckham. Terutama daripada segi kemasyhuran atau ketampanan wajah untuk duduk sama kelas. Malah, Rooney sering diejek dalam media dan penyokong lawan sebagai 'Shrek' iaitu watak animasi raksasa gondol hodoh.

Yang sama ialah mereka berdua pemain Manchester United, kelab kedua popular di dunia selepas Real Madrid dan kesukaan mereka 'makan luar'.

Pendedahan terkini mengenai kecurangan Rooney kembali membelenggu hidupnya, bukan setakat sebagai seorang suami dan bapa, tetapi juga sebagai pemain bolasepak profesional. Minggu lepas, anda boleh memilih untuk mempercayai atau tidak terhadap kenyataan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson bahawa penggugurannya daripada bermain melawan Everton ialah untuk mengelakkannya daripada kutukan penyokong kelab yang pernah menyanjungnya suatu ketika dulu. Rooney diperkenalkan oleh Everton sebelum dibeli oleh Manchester United pada 2004 dengan yuran perpindahan sebanyak £27 juta (kira-kira RM189 juta ketika itu).

Ini kerana muncul pula satu laporan memetik pembantu Ferguson iaitu Mike Phelan yang berkata, keputusan menggugurkan Rooney adalah kerana 'Wayne tidak bersedia untuk beraksi'.

Beberapa hari kemudian, Rooney diturunkan bagi menentang kelab dari Scotland dalam Piala Juara-Juara Eropah. Rooney bermain sekejap sebelum dikeluarkan atas alasan kaki terkehel. Secara tiba-tiba, Manchester United sebagai pasukan pilihan, mencatat dua keputusan seri minggu lalu. Seri 3-3 dengan Everton, tatkala ia sedang mendahului hingga ke minit kecederaan dan 0-0 dengan Glasgow Rangers.

Prestasi lemah sebegini mudah bagi penyokong kelab itu atau penganalisis menuding jari kepada Rooney. Kisah skandal pemain itu membayar khidmat seks dengan dua pelacur muda menjadi perhatian ramai. Penganalisis lelaki akan mempersoalkan kesan pendedahan skandal terhadap prestasinya di atas padang, penganalisis wanita pula mempersoalkan moral Wayne yang didapati curang semasa isterinya, Coleen sedang sarat mengandung.

Jika anda melayari portal berita akhbar di United Kingdom atau menaip 'Rooney' pada enjin carian, pasti ada berita terbaru dipaparkan. Nampaknya, Rooney kini menggantikan Tiger Woods sebagai 'kisah curang' nombor satu di dunia. Ini cerita pagi Ahad yang menyegarkan dan selesa di meja sarapan, berbanding membaca kisah pembunuhan ngeri yang meruntun perasaan.

Tetapi kisah Rooney ini bukan sesuatu yang baru. Bezanya kini ialah dia sudah bergelar suami dan bapa, dan sebagai penyerang nombor satu England, dia dianggap ikon penting kepada sukan bolasepak.

Pada 2004, tatkala Rooney yang baru berusia 19 tahun dilaporkan melanggani pelacur berusia berlipat ganda darinya dan boleh dipanggil nenek dan dikenali sebagai 'Auld Slapper', 50 tahun. Tidak pasti siapa yang 'untung', si-jutawan muda ini atau kupu-kupu purba? Walaupun dia belum berkahwin ketika itu, dia dan Coleen sudah menjadi sepasang kekasih. Pasangan itu telah bersama sejak berusia 12 tahun. Pada 2006, Rooney sekali lagi menjadi tajuk tabloid dengan pendedahan dia melanggani seorang lagi pelacur - juga berusia 40-an.

Inilah yang dikhuatiri oleh peneraju sukan dan pemegang mohor moral di seluruh dunia. Ikon bolasepak seperti Rooney memang dinanti-nantikan. Berlatar belakang ibu bapa yang dari golongan kolar biru di Liverpool, Rooney mempamerkan bakat dan kemahiran bolasepak yang istimewa berbanding rakan sebayanya. Dia telah diperkenalkan ke persada bolasepak profesional oleh Everton pada usia semuda 16 tahun.

Penghijrahannya ke Manchester United mengesahkan statusnya sebagai 'Cinderella bolasepak', seterusnya menjadi pemain terkenal dan paling utama, menjadi jutawan bukan saja dari hasil gaji tetapi juga penajaan produk. Lantaran itu, hampir kesemua kanak-kanak di England (juga di Malaysia!) menyimpan hasrat untuk menjadi pemain bolasepak profesional suatu hari nanti. Ia menawarkan hidup penuh glamor dan kemewahan.

Dari aspek tersebut, mungkin tidak mengapa. Tetapi pendedahan demi pendedahan terhadap gaya hidup liar dan luar batas moral berkeluarga, masih dianggap suatu taboo dalam masyarakat sekular England.

Lihat pada David Beckham. Tujuh tahun baru berlalu sejak Ferguson meranapkan status selebriti Beckham beserta pengaruh isterinya, Victoria yang disifatkan banyak menjejaskan mutu permainan dia di atas padang. Satu insiden yang masih segar ialah di mana Beckham diberi pelepasan sehari daripada menjalani latihan, untuk menjaga anak kecilnya yang sakit perut. Ia sepatutnya cuti ehsan oleh bos segarang Ferguson. Bila gambar Victoria terpampang di akhbar menunjukkan dia berada di satu pertunjukkan fesyen di London pada hari yang sama, kemarahan Ferguson tidak terbendung.

Dalam konteks tersebut, Ferguson mempunyai cara tersendiri dalam membentuk anak didiknya yang bertaraf cucu kepadanya. Dia pernah dilaporkan memuji Coleen Rooney dua tahun lalu. ''Dia adalah wanita pintar, yang tidak meninggi diri''. Ayat tersebut ditafsir ramai sebagai kritikan tajam terhadap Victoria Beckham. ''Perkahwinan membantu pemain. Ia membantu mereka hidup tenang. Anda juga tahu di mana mereka berada''.

Mungkin benar. Mungkin tidak. Enam tahun lalu, Ferguson membayar £27 juta untuk menarik Rooney ke Old Traford dan tentunya dia telah memastikan bayaran itu berbaloi untuk pemain yang telah menyumbat tidak kurang 30 gol semusim sejak itu. Tahun ini, ada sedikit perbezaan.

Rooney belum mempamerkan keupayaan sebenarnya sejak dikerah kembali dengan mendadak daripada kecederaan buku lali untuk bermain dalam Liga Juara pada Mei lalu.

Dia rajin membantu rakannya dalam pertahanan dan ia bagus tetapi malang fokusnya kelihatan terganggu. Berdasarkan beberapa bukti gambar yang disiarkan, Rooney sukakan rokok dan minuman keras. Jika Rooney tidak membetulkan kealpaannya, dia mungkin berdepan dengan tindakan Ferguson, sama seperti yang dikenakan terhadap Beckham - 'diusir' keluar dari Manchester United.

Tatkala Beckham sendiri memiliki skandal seks yang tersendiri, isterinya berkata, ia mengukuhkan perkahwinan mereka. Ia terbukti tidak menganggu permainan bolasepaknya. Walaupun Beckham kini hanya bermain untuk kelab semut di Los Angeles, fakta yang tidak boleh dinafikan ialah Beckham sudah bermain sehingga usianya 35 tahun sekarang dan dia adalah profesional yang mementingkan kesihatan dan penampilan diri. Dengan rokok dan minuman keras sebagai 'formula' sampingan, Rooney berisiko akan menamatkan kerjaya bolasepaknya sebelum mencecah usia 30 tahun.

Malam ini, Rooney akan bertembung dengan Fernando Torres dalam perlawanan Manchester United dan Liverpool di Old Trafford. Fokus akan terus tertumpu padanya, lebih-lebih lagi jika dia gagal menjaringkan gol atau Torres memenangi perlawanan untuk kelab musuh ketat mereka itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...