Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, July 22, 2010

KJ Tidak Pertahankan Jawatan Timbalan Presiden FAM (BERNAMA)

18 Julai, 2010 23:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan badan induk itu pada 31 Julai ini.

Beliau, yang pertama kali memegang jawatan itu sejak 2007, berharap calon baru yang akan menggantikan tempatnya itu akan melihat semula perjalanan FAM secara menyeluruh.

Beliau juga mendakwa FAM gagal membentuk struktur bola sepak yang mantap sehingga kepincangan dalaman menyebabkan ramai penaja menarik balik tajaan masing-masing.

Bercakap kepada pemberita di sini, Khairy mendakwa satu ketika dahulu liga tempatan dikerumuni oleh banyak penaja tetapi kini situasi berubah dengan pihak swasta banyak menaja iklan untuk Piala Dunia dan Liga Perdana Inggeris.

"Kita tidak boleh persalahkan penaja kerana mereka mahu hasil pulangan yang tinggi. Lebih-lebih lagi untuk menarik ribuan penyokong untuk satu-satu perlawanan liga tempatan pun susah," katanya.

Khairy juga mendakwa bahawa FAM turut gagal menyelaras struktur bola sepak di peringkat akar umbi yang juga menjadi punca badan induk itu gagal menyerapkan pemain serba boleh ke dalam skuad kebangsaan.

Malah beliau juga turut mendakwa FAM tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk memperkasakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Lebih daripada 90 peratus peruntukan kewangan dalam FAM dibelanja untuk penganjuran liga tempatan sehingga FAM gagal untuk tunaikan janji memperbaiki struktur bola sepak tanah air," katanya.

Khairy mendakwa tidak sampai 10 peratus peruntukan kewangan FAM dibelanjakan untuk liga peringkat daerah.

Penglibatan Khairy secara aktif dalam sukan itu bermula pada 2006 apabila beliau bersama rakannya Jason Lo dan Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby menubuhkan pasukan MyTeam, yang kini dikenali UPB-MyTeam FC.

Selepas itu, beliau menjadi pengerusi Liga Super Malaysia Sdn Bhd pada 2007.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...