Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 9, 2010

Pos ada tonik jumpa Selangor (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia mempunyai tonik terbaik untuk berdepan Selangor dalam saingan Piala FA di Stadium Selayang, hari ini.

Kejayaan menundukkan Harimau Muda 4-1 dalam Liga Perdana, Jumaat lalu ternyata membakar semangat anak-anak buah Lim Kok Onn.

Jurulatih Pos Malaysia itu berkata, kejayaan menundukkan Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee dengan jaringan besar adalah satu petanda baik buat anak buahnya menghadapi Selangor.

Katanya, kemenangan ke atas Harimau Muda adalah satu kejayaan yang sangat manis dan mampu menyemarakkan semangat pasukan itu memberi tentangan sengit kepada Red Giants.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain pada pertemuan menentang Harimau Muda. Mereka bermain bersungguh-sungguh, biarpun ketinggalan satu gol ketika perlawanan baru berlangsung dua minit.

"Tanpa sebarang tekanan dan tidak mudah hilang punca, pemain berjaya bangkit dan memperoleh kemenangan berharga.

"Ia satu yang manis dan mampu melonjakkan semangat pemain pasukan ini untuk menghadapi pasukan ternama Liga Super, Selangor bagi persaingan Piala FA," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Kok Onn berkata, pemain begitu bersemangat pada pertemuan menentang Harimau Muda dan mahu memperoleh tiga mata penuh di hadapan penyokong setia.

Katanya, kemenangan adalah sangat penting bagi memperbaiki kedudukan pasukan tersebut di carta Liga Perdana.

Selain itu, katanya, pemain juga mahu membuktikan pasukan itu mampu melakukan sesuatu ke atas skuad kebangsaan.

Pada perlawanan Jumaat lalu, Harimau Muda membuka jaringan seawal minit kedua menerusi jaringan cantik D. Saarvindran, selepas pemain sayap itu mendapat hantaran daripada Mohd. Irfan Fazail.

Namun, jaringan awal Harimau Muda itu tidak menggugat semangat anak didik Kok Onn untuk melancarkan beberapa serangan merbahaya.

Pemain sayap Pos Malaysia, G. Puaneswaran memperoleh peluang terbaik mencipta gol penyamaan, tetapi percubaannya itu berjaya ditepis penjaga gol Harimau Muda.

Ketika perlawanan separuh masa pertama memasuki masa kecederaan, Pos Malaysia akhirnya memperoleh gol penyamaan menerusi Ahmad Sawai Din yang berjaya melepasi perangkap ofsaid.

Mohd. Hanifuddin Abd. Rahman meletakkan Pos Malaysia di hadapan ketika perlawanan separuh masa kedua baru berusia dua minit.

Gol tersebut ternyata merangsang Pos Malaysia untuk menggandakan asakan dan akhirnya memperoleh dua lagi gol menerusi Puaneswaran.

Pemain sayap Pos Malaysia itu mudah menyempurnakan sepakan penalti bagi gol ketiga minit ke-78, sebelum melengkapkan kemenangan berharga minit ke-82.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...