Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 3, 2010

Henti ejek Terry - Rooney (Utusan Malaysia)



john Terry (kanan) dan Wayne Rooney, tiba di padang latihan pasukan England di London Colney semalam, menjelang perlawanan persahabatan menentang Mesir, esok. - REUTERS


LONDON - Wayne Rooney menggesa penyokong memberikan 'sambutan baik' kepada John Terry pada perlawanan persahabatan menentang Mesir, dan berhenti daripada terus mengejek pemain pertahanan itu.

Aksi persahabatan di Stadium Wembley esok, merupakan perlawanan pertama sejak ketua pasukan Chelsea, Terry dilucutkan tugas daripada mengetuai skuad England.

Pengurusnya, Fabio Capello bertindak demikian ekoran pendedahan skandal Terry dengan bekas teman wanita rakan sepasukannya, Wayne Bridge.

Bridge, yang kini menyertai Manchester City, baru-baru ini mendedahkan dia tidak mahu beraksi di peringkat antarabangsa menjelang Piala Dunia, pada ketika pemain Chelsea, Ashley Cole mengalami kecederaan menyebabkan dia menjadi pilihan utama skuad England.

Ketua pasukan Chelsea, Terry diejek oleh penyokong pasukan lawan, ketika pasukannya kalah 2-4 kepada Manchester City hujung minggu lalu, di mana Bridge enggan menerima salam pemain pertahanan itu sebelum sepak mula.

"John seorang pemimpin pasukan kami.

"Dia tidak lagi memakai kain lilit lengan, tetapi dia tetap seorang pemain dan pemimpin yang hebat.

"Dia seorang pemain yang hebat. Saya rasa dia dinamakan dalam kesebelasan terbaik dunia sejak tiga tahun lalu.

''Tahap kecergasannya tidak dibimbangi, itu sudah pasti.

"Wayne Bridge seorang pemain yang menakjubkan apatah lagi ketika Ashley Cole cedera, saya pasti dia pilihan utama untuk posisi pertahanan.

"Cuma agak malang dengan situasi sekarang, namun itu keputusannya, anda harus menghormatinya,'' kata Rooney dalam sidang akhbar, kelmarin.

Rooney, yang ditanya bagaimana reaksi penonton di Wembley terhadap Terry, berkata: ''Saya harap ia macam biasa.

"Saya pernah bersama-sama dalam pasukan di mana ada beberapa pemain diejek di Wembley dan ia tidak elok.

''Ia tidak memberikan mesej yang betul. Saya berharap Terry akan mendapat sambutan yang baik.

''Ketika kami sedang menuju untuk beraksi pada Piala Dunia, kami perlukan penyokong di belakang yang memberi sepenuh sokongan mereka, sokongan mereka amat penting.'

Rooney, mengalami kecederaan lutut pada perlawanan akhir Piala Liga menentang Aston Villa Ahad lalu, di mana dia dimasukkan dan menjaringkan gol kemenangan 2-1, cergas untuk berdepan Mesir.

"Ya... Saya okey. Saya menjalani ujian imbasan hari ini dan cuma ada calar kecil. Saya akan menjalani latihan dan akan beraksi,'' katanya.

Rooney juga menyokong pemilihan Ryan Shawcross, bekas rakannya di Old Trafford.

Pemain pertahanan Stoke itu menerima panggilan pertama ke skuad England, beberapa jam selepas dia dikenakan kad merah, kerana melakukan terjahan keras, sehingga mematahkan kaki pemain Arsenal, Aaron Ramsey pada perlawanan, Sabtu lalu.

"Saya pernah bersamanya selama beberapa tahun di United dan dia bukan seorang pemain yang kasar.

"Saya pasti dia okey, dia dialu-alukan ke dalam skuad.

''Adalah penting untuk dia tersenarai dalam pasukan, saya pasti dia dapat beraksi dengan baik,'' katanya.

Walaupun kecederaan Rooney menyebabkan dia belum pasti dapat diturunkan pada perlawanan persahabatan nanti, prospek kehilangan sentuhan pemain penyerang itu menimbulkan kebimbangan penyokong.

Rooney merupakan harapan England untuk memenangi Piala Dunia dan yakin ia mampu menggalas cabaran tersebut.

"Saya juga berharap begitu. Saya harap akan ada perlawanan yang bagus seperti menentang Everton apabila saya aksi saya tidak terlalu bagus.

''Saya harap secara umum saya dapat mengekalkan prestasi saya dan dijelmakan pada ke Piala Dunia. Jika saya berjaya melakukannya, saya amat gembira,'' katanya.

Mengenai ancaman yang mampu diberikan oleh Mesir, Rooney berkata: ''Mereka pasukan yang bagus. Mereka menang tiga kali berturut-turut Piala Negara-Negara Afrika.

"Ia bakal menjadi perlawanan sukar. Saya mahu mencuba perlawanan ini sebagai persediaan ke Piala Dunia, dan perlawanan ini nanti bakal menjadi langkah pertama kami.'' - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...