Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 2, 2010

FAS undang Indonesia ke Piala Selangor (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak akan terbawa-bawa dengan insiden penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu Negaraku, pada penganjuran Piala Selangor tahun ini, apabila membayangkan kelab negara jiran itu mungkin bakal diundang menyertai pertandingan tersebut.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, insiden yang berlaku di Jakarta, Indonesia itu, tidak ada kaitan dengan penganjuran Piala Selangor.

''Ia adalah dua isu yang berbeza, memang kita ada mengundang kelab dari Indonesia iaitu Persib Bandung, tahun lalu, malah, pemain dari negara jiran itu, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, turut beraksi bersama pasukan Selangor.

''Mereka tidak harus dipersalahkan, malah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah memberi jaminan perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas insiden aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam dalam pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta, Isnin lepas, mengakibatkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM 17,006).

Tindakan itu diambil oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) setelah Hamidin, yang juga pengurus pasukan Malaysia, membuat bantahan rasmi mengenai kejadian tersebut, kerana kelakuan itu telah mencemarkan maruah sebuah negara.

Menurut Hamidin, apa yang berlaku di Jakarta hanya insiden yang membabitkan 'orang muda', yang mungkin terbawa-bawa dengan isu semasa melibatkan kedua-dua negara yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Jelasnya, sebagai pengurus pasukan, beliau berpuas hati dengan tindakan segera yang diambil oleh PSSI apabila mereka telah menyebarkan risalah mengenai larangan peraturan yang perlu dipatuhi penyokong.

''Malah PSSI turut meningkatkan kawalan keselamatan dan selepas insiden itu, tidak ada lagi cemuhan dari penyokong Indonesia sewaktu skuad kebangsaan bertemu Vietnam,'' ujarnya.

Mengulas mengenai Piala Selangor, beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai penganjuran pertandingan tersebut.

Tambahnya, buat masa ini, tarikh penganjuran masih belum ditetapkan, tetapi apa yang pasti, pertandingan itu bakal diadakan selepas Piala Dunia 2010.

Ditanya mengenai pasukan jemputan yang akan beraksi pada Piala Selangor, Hamidin tidak menolak kemungkinan pihaknya akan mengundang kelab dari Indonesia.

Menurut beliau, pihaknya turut menimbangkan untuk mengundang kelab dari Thailand, memandangkan reputasi negara gajah putih itu dalam sukan bola sepak di rantau.

Pada perlawanan Piala Selangor tahun lalu, Selangor berjaya mengalahkan kelab Indonesia, Persib Bandung 2-0 di Stadium Shah Alam dan kedua-dua jaringan itu dilakukan oleh Bambang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...