Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 9, 2010

Chelsea, Villa tempah tiket separuh akhir

LONDON: Juara bertahan Chelsea menewaskan Stoke 2-0 untuk menempah pertemuan separuh akhir Piala FA dengan Aston Villa yang memerlukan jaringan hatrik John Carew untuk menang 4-2 ke atas Reading, kelmarin.

Frank Lampard dan ketua pasukan, John Terry menjaringkan gol Chelsea di Stamford Bridge ketika menentang Stoke yang menyingkirkan Arsenal dan Manchester City daripada saingan itu sebelum ini.

Lampard meledakkan jaringan pertama pada minit ke-35 yang membias menerjah jaring selepas menerima umpanan Terry. Pada minit ke-67, sepakan sudut Lampard menemui Terry yang menanduk masuk.

Tidak mudah selepas tewas minggu lalu, kami tidak bermain mengikut tahap kami tetapi bangkit dengan penuh keazaman, kata Lampard merujuk kepada kekalahan 4-2 kepada Manchester City di gelanggang sendiri minggu lalu.

Ia perlawanan yang sukar dan kami menanganinya dengan baik. Wembley adalah gelanggang yang baik bagi penyokong kami, kami menjulangnya sebelum ini dan kami mahu kembali ke sana.

Ketinggalan menerusi dua gol pemain Reading, Shane Long, Villa menjaringkan tiga gol dalam tempoh 11 minit di awal babak kedua sebelum Carew menambah satu lagi menerusi sepakan penalti pada masa tambahan.

Keputusan itu bermakna Villa akan kembali ke Wembley April ini, selepas tewas kepada Manchester United dalam final Piala Liga di gelanggang keramat bola sepak Inggeris itu, seminggu lalu.

Ia tempoh yang cukup baik bagi kami selepas babak pertama dan kami perlu melakukan sesuatu kerana kami bermain dengan agak hambar di separuh masa pertama, kata pengurus Villa, Martin ONeill yang menurunkan Carew kerana Gabriel Agbonlahor jatuh sakit di sebelah pagi.

Saya rasa selepas semua usaha yang kami gemblengkan dalam kedua-dua pertandingan musim ini, ia membuahkan hasil. Saya gembira dengan pasukan ini, kami menunjukkan perwatakan yang hebat, katanya.

Dengan Chelsea terbabit dalam saingan Piala FA, Manchester United melonjak ke persada Liga Perdana Inggeris selepas menang 1-0 ke atas Wolves Sabtu lalu dan mendahului dengan dua mata.

Arsenal berkongsi mata dengan Chelsea selepas menundukkan Burnley 3-1 tetapi Chelsea mempunyai satu perlawanan dalam tangan berbanding dua pencabarnya itu. - AP


--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...