Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 9, 2010

Arsenal mahu tebus kesilapan jumpa Porto


Sol Campbell


LONDON, England - Pemain Arsenal, Sol Campbell berharap rakan sepasukannya mampu menebus kembali memori pedih tewas kepada Porto pada pusingan pertama Liga Juara-Juara menjelang pertemuan kedua di Stadium Emirates, esok.

Anak-anak buah Arsene Wenger perlu mengatasi defisit 1-2 di laman sendiri, setelah Lukasz Fabianski melakukan kesilapan yang memberikan dua gol kepada Porto pada perlawanan pertama.

Penjaga gol Poland itu menampan masuk percubaan Silvestre Varela ke dalam gawang sendiri bagi memberikan gol pendahuluan kepada Porto.

Namun, Campbell bingkas menanduk masuk gol penyamaan buat Arsenal, sebelum Fabianski sekali lagi melakukan kecuaian apabila membiarkan Falcao menolak mudah ke gawang yang kosong setelah menerima bola daripada Campbell.

Kekalahan itu umpama sebuah kisah daripada cerita komik, namun gol di tempat lawan oleh Campbell memberikan harapan buat Arsenal, kerana kemenangan 1-0 sudah memadai buat kelab dari Utara London itu mara ke peringkat suku akhir.

''Permainan masih separuh jalan dan peluang masih cerah buat kami dalam perlawanan kedua.

''Jaringan gol di tempat lawan cukup penting. Sekiranya kami tewas 1-0, ia mungkin satu perkara yang sukar. Satu jaringan berharga di tempat lawan mungkin akan memberikan perbezaan besar.

''Ia memberikan sedikit kelebihan kepada kami dalam pertemuan kedua. Namun, kami tidak gembira kerana tewas dalam perlawanan terdahulu.

''Apa yang kami perlu lakukan ialah mengambil positif daripada perlawanan terdahulu dan bersatu sebagai satu pasukan,'' kata Campbell.

Berada dalam lapan pasukan terbaik mungkin sudah mencukupi buat Arsenal, namun bekas pemain England itu percaya kesilapan pada perlawanan pertama akan memberikan motivasi tambahan buat Arsenal.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger kurang gembira cara pengadil dari Sweden, Martin Hansson yang membenarkan sepakan percuma diambil begitu cepat dan Campbell bersetuju Arsenal dihukum dengan cara yang sukar untuk diterima.

''Anda mungkin boleh bersetuju kerana pemain Porto bertindak cepat, namun pengadil langsung tidak memberikan peluang kepada saya untuk berada di hadapan pintu gol.

''Tiada langsung tiupan wisel dan saya tidak nampak langsung dia mengangkat tangan semasa sepakan diambil,'' kata Campbell.

Arsenal masih boleh berasa yakin untuk berdepan Porto kerana berdasarkan rekod pada tahun lepas, mereka berjaya membelasah pasukan kendalian Jesualdo Ferreria itu 4-0 diikuti kemenangan 2-0 pada September 2006. - AFP

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...