Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, February 17, 2010

Wenger waspada ancaman Porto (Utusan Malaysia)



ARSENE WENGER


PORTO, Portugal - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berwaspada dengan cabaran yang bakal diberikan oleh FC Porto pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara, esok.

Gunners kembali menemui rentak di dalam persaingan Liga Perdana, selepas menang 1-0 ke atas Liverpool di Stadium Emirates setelah kekalahan dua kali berturut-turut kepada pesaing mereka, Manchester United dan Chelsea.

Kejayaan ke atas skuad Rafael Benitez itu meletakkan Arsenal enam mata di belakang pendahulu liga, Chelsea dan mereka mempunyai masa seminggu bersedia bagi menghadapi perlawanan di Portugal, selepas terkeluar dari saingan Piala FA.

Bagaimanapun, Arsenal tidak pernah menang dalam dua kunjungan terakhir ke Estadio de Dragao, dan Wenger percaya pasukannya perlu berhati-hati dalam perlawanan tersebut.

''Syarat paling minimum di sana, kita tidak mahu tewas, jika tidak kita terkeluar daripada persaingan.

''Memastikan gol tidak dibolosi sudah cukup baik, namun kami adalah sebuah pasukan yang mahu bermain.

''Kami mahu memastikan bahagian pertahanan beraksi dengan baik,'' kata Wenger.

Namun, harapan Arsenal itu tidak dibantu dengan kecederaan yang dialami oleh pemain utamanya.

Penyerang Belanda, Robin van Persie disahkan tidak boleh bermain pada sebahagian besar musim ini akibat kecederaan buku lali, manakala perancang dari Rusia, Andrey Arshavin tidak boleh turun pada perlawanan dengan Porto ekoran kekejangan otot.

Pemain tengah, Alex Song masih belum pasti dapat bermain, ekoran masalah lutut namun penyerang yang berasal dari Croatia, Eduardo dan Samir Nasri dijangka akan turun beraksi.

Eduardo dilihat tidak prolifik di depan pintu gol musim ini, tetapi Wenger mempertahankan anak buahnya. Wenger yakin Eduardo mampu kembali ke prestasi terbaiknya selepas setahun tidak dapat bermain kerana patah kaki kiri.

''Eduardo menunjukkan tanda sentuhannya kembali tajam semasa sesi latihan.

''Memang mengambil masa yang lama untuk sembuh apabila anda mengalami kecederaan sepertinya, namun dia semakin kuat dan bertambah kuat.

''Bukan perkara yang membimbangkan jika dia tidak menjaringkan gol, saya memberitahu kepada, jika dia bermula membuat hantaran, ia adalah sama seperti dia menjaringkan gol kerana pada saya ia tidak menunjukkan sebarang perbezaan,'' kata Wenger.

Porto layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sebanyak enam kali dalam tempoh tujuh tahun, serta muncul juara pada 2004, dan Wenger menjangkakan perlawanan sengit di Porto.

''Dari atas kertas, anda mungkin melihat kami sebagai pasukan pilihan, namun itu tidak penting.

''Porto cukup konsisten di dalam Liga Juara-Juara dan kami sedar akan melalui perlawanan yang sukar, jadi saya tidak terkejut,'' kata Wenger, yang membimbing Arsenal mara ke peringkat separuh akhir, tahun lalu.

Juara liga Portugal itu telah membuktikan mereka adalah pesaing dalam kejohanan Eropah itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun pasukan itu banyak berubah jika dibandingkan dengan skuad tahun lepas, yang mara ke peringkat suku akhir.

Dua pemain Argentina, Lucho Gonzalez dan Lisandro Lopez serta bek kiri, Aly Cissokho, berhijrah ke liga Perancis, dengan Lucho menyertai Marseille, manakala Lyon menyambar Lisandro dan Cissokho.

Pasukan kendalian Jesualdo Ferreira itu yang ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Benfica, tapi kurang satu perlawanan, dipaksa seri tanpa jaringan dengan pasukan kedua tercorot liga, Leixoes. Keputusan itu mencetuskan pergaduhan di antara penyokong Porto dan pihak polis.

''Kami perlu bersikap realistik, kami berdepan gergasi bola sepak Eropah yang mempunyai bajet besar, pemain yang lebih baik dalam peringkat berlainan.

''Namun, saya fikir ia bukan segala-galanya dalam bola sepak. Bola sepak membuktikan siapa paling kuat di atas padang, bermain cantik dan menjaringkan gol.

"Kami sering melalui kempen yang baik dalam Liga Juara-Juara, jadi saya yakin kami mampu menang,'' kata ketua pasukan dan pemain pertahanan Porto, Bruno Alves. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...