Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 25, 2010

United kehilangan Ferdinand, Anderson (Utusan Malaysia)

MANCHESTER - Alex Ferguson kehilangan khidmat dua pemainnya menjelang perlawanan akhir Piala Liga menentang Aston Villa Ahad ini, selepas Rio Ferdinand terpaksa diketepikan pada pertembungan di Wembley itu, manakala Anderson mengalami kecederaan lutut yang serius.

Ferguson berkata, selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas West Ham semalam, masalah belakang yang dialami Ferdinand bertambah teruk, dan kecederaan itu juga bakal menyebabkan pemain itu terlepas peluang untuk beraksi pada perlawanan persahabatan England menentang Mesir di Wembley, minggu depan.

Masalah tersebut memberi tamparan hebat kepada United dan Ferdinand.

Pemain itu yang berharap dapat kembali beraksi menentang West Ham, selepas menjalani penggantungan tetapi terlepas peluang selepas belakangnya tercedera semasa latihan.

Pemain tengah Brazil, Anderson juga terpaksa disisihkan pada perlawanan akhir Piala Liga, selepas dia kelihatan terhincut-hincut pada pertemuan menentang West Ham, yang menyaksikan United mencatat kemenangan keenam berturut-turut di tempat sendiri.

''Rio mengadu sakit di bahagian belakangnya pagi kelmarin. Kami tidak boleh mengambil risiko ke atasnya. Dia tidak bersedia untuk perlawanan Ahad ini.

''Bagi Anderson pula, kami menghantarnya untuk membuat ujian imbasan. Harap-harap ia tidak serius tetapi kelihatan membimbangkan,'' kata Ferguson.

United yang kembali merapatkan kedudukan satu mata di belakang Chelsea, memperoleh kemenangan hasil jaringan Wayne Rooney dan Michael Owen yang masing-masing menjaringkan dua dan satu gol.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya meningkatkan kembali keyakinan United, setelah tumpas 1-3 kepada Everton dan sekali gus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Chelsea.

Rooney pula mempamerkan prestasi hebat setelah meledakkan 27 gol setakat ini - 23 gol dihasilkan menerusi aksi Liga Perdana.

Pemain itu berjaya memecah kebuntuan apabila menjaringkan dua gol, yang sekali gus meletakkan United di depan.

''Rooney memiliki sentuhan ajaib. Apa sahaja yang disentuh bertukar menjadi emas.

''Walaupun perlawanan itu biasa sahaja, dia tetap mampu menjaringkan dua gol,'' kata pengurus West Ham, Gianfranco Zola.

Ferguson turut menghamburkan pujian terhadap jaringan Rooney, yang meletakkan United mendahului West Ham.

''Wayne telah menyempurnakan jaringannya dengan baik sekali. Buat masa ini, dia berada pada tahap yang terbaik dan harap ia akan berterusan.

''Kami perlu menang. Sabtu lalu, amat mengecewakan apabila kami gagal bermain dengan baik selepas pulang dari Milan.

''Namun, kini kami menunjukkan perubahan yang hebat. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol lagi,'' kata Ferguson.

Ferguson menegaskan, dia bakal melakukan perubahan menjelang perlawanan di Wembley dan pemain pertahanan muda Brazil, Rafael Da Silva disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Villa.

West Ham yang masih bergelut di penyingkiran bakal bertemu Bolton di tempat sendiri, disusuli menentang Wolves, Sunderland serta Wigan.

Namun, Zola tetap yakin pasukannya akan dapat mengelak daripada menduduki tiga tangga tercorot.

''Ia bukan mudah menentang Manchester United dan bangkit apabila ketinggalan 1-0.

''Tiada alasan untuk kami beraksi lebih baik. Kami telah mempamerkan prestasi yang membanggakan sejak kebelakangan ini,'' tambah Zola. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...