Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, February 19, 2010

Taktik penyerang solo Selangor tumpul (Utusan Malaysia)

SHAH ALAM - Sistem penyerang solo terbukti kurang berkesan untuk mendorong Safee Sali meraih peluang menjaringkan gol, biarpun Selangor membawa modal 2-0 ke atas PKNS pada perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA, kelmarin.

Hasrat K. Devan untuk mengaktifkan gerakan serangan Merah Kuning dari belakang pada perlawanan Stadium Shah Alam, sekadar membataskan ancaman pemain berjersi No. 10 itu, sehingga dia terpaksa digantikan oleh R. Surendren pada babak kedua.

"Ia sebahagian taktikal kami (menggunakan penyerang solo) tetapi terbukti bantuan dari tengah padang lewat tiba untuk Safee. Dia seolah-olah terasing di bahagian serangan, khususnya pada babak pertama," kata jurulatih pasukan juara bertahan itu.

Strategi yang mengharapkan Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan Farderin Kadir, mahupun ketua pasukan Amri Yahyah membantu penyerang solo itu kemudian terpaksa diubah, dengan memasukkan pula Rudie Ramli sambil membolehkan Surendren menambah gol.

Devan mengakui, PKNS yang diterajui bekas jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim juga pantas menghidu gerakan serangan anak buahnya, apabila pemain mereka berkumpul di bahagian tengah setelah kehilangan bola untuk menutup ruang.

"Itu juga yang menjadikan peluang jaringan kami terbatas walaupun yang penting bagi saya kami menang 2-0 dan menuju perlawanan kedua (Sabtu ini) dengan tetap memburu kemenangan untuk ke suku akhir," katanya.

Kemasukan Surendren baginya, masih belum memadai sehinggalah gol kedua miliknya tiba pada minit ke-87, memandangkan kurangnya gerakan penyerang gantian itu yang mampu mengancam gawang PKNS yang dikawal Saiful Amar Sudar.

"Namun jaringannya dengan menanduk umpanan Safiq memang cantik dan saya mahukan rentak kemenangan sebegini terus menemani Selangor, sama ada bagi Piala FA (Sabtu ini) mahupun Piala AFC (Selasa depan)," katanya.

Jelas Devan, perubahan taktik masih ada kaitannya dengan matlamatnya untuk menggilirkan pemain tertentu di padang, apatah lagi mereka akan menghadapi Piala AFC dengan menentang Becamex Binh Duong FC, Selasa ini.

Selangor melayani kelab Vietnam ini di Stadium Shah Alam pada perlawanan sulungnya dalam Kumpulan F persaingan bahagian dua anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) itu, manakala dua lagi lawan ialah Victory SC Maldives dan Sriwijaya Indonesia.

Gergasi Merah tampil selaku wakil tunggal Malaysia dalam Piala AFC setelah menjuarai Liga Super musim 2009, manakala Perlis yang ditawarkan atas kelayakan naib juara, menolaknya dan tidak digantikan oleh mana-mana pasukan lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena