Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, February 28, 2010

Selangor menang tipis di Batu Kawan (Utusan Malaysia)

NIBONG TEBAL - Pendahulu Liga Super, Selangor nyaris dikejutkan pasukan bawahan Pulau Pinang apabila sekadar menang tipis 1-0 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini, semalam.

Jaringan Rudie Ramli pada minit ke-77 memberikan tiga mata berharga kepada skuad Red Giants apabila lorongan cantik pemain gantian Mohd. Safee Sali berjaya memberikan mata berharga buat Selangor.

Barisan pemain muda Pulau Pinang ternyata memberi saingan sengit kepada skuad kendalian K. Devan itu apabila berjaya mengikat permainan tanpa sebarang gol pada babak pertama.

Selangor hampir membuka jaringan seawal minit kesembilan apabila Rudie Ramli menanduk kemas hantaran jauh Mohd. Zaiza Zainal Abidin, namun bola berjaya ditepis penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata.

Pulau Pinang turut mendapat peluang menjaringkan gol tetapi rembatan jauh ketua pasukan, V. Jaganathan pada minit ke-26 dinafikan Hamsani Ahmad yang ampuh di pintu gol Selangor.

Tanpa kelibat Amri Yahyah yang digantung permainan, skuad bimbingan K. Devan sedikit goyah dan barisan serangan mereka terus buntu menembusi pertahanan tuan rumah.

Keputusan tipis itu bagaimanapun membuatkan Selangor menarik nafas lega kerana berjaya menjarakkan lima mata dengan Terengganu di tangga kedua yang kini mengutip 14 mata.

Selangor kini mengumpul 19 mata selepas lapan perlawanan manakala Skuad Harimau Kumbang terus menghuni dasar liga dengan hanya empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...