Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, February 19, 2010

Porto hukum Arsenal



PENJAGA gol Arsenal, Lukasz Fabianski (kanan) tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Martin Hansson (dua dari kiri) memberi sepakan percuma kepada Porto, sambil diperhatikan pemain Porto, Ruben Micael (dua dari kanan) dan pemain Arsenal, Sol Campbell dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Porto semalam. – AP


LONDON – Dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan penjaga gol Arsenal menghukum kelab Liga Perdana England itu apabila tunduk 2-1 kepada Porto dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik bola sepak Liga Juara-Juara Eropah di Porto, semalam.

Mimpi ngeri skuad Gunners bermula seawal minit ke-11 selepas penjaga gol keduanya, Lukasz Fabianski, yang mengisi tempat penjaga gol utama, Manuel Almunia terlepas bola tendangan lemah Silvestre Varela.

Penjaga gol muda Poland berusia 24 tahun itu kemudian melakukan satu lagi kesilapan amatur, menangkap bola hantaran ke belakang daripada rakan sepasukan, Sol Campbell, yang membawa kepada gol kemenangan Porto.

Walaupun Campbell berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan cantik pada minit ke-18, namun gol kontroversi Porto yang disempurnakan Radamel Falcao di minit ke-51 menafikan hajat skuad Gunners untuk membawa pulang bekalan lebih selesa.

Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana pemain Porto mengambil sepakan percuma yang pantas ketika pemain-pemain Arsenal masih bercakap dengan pengadil, Martin Hansson.

Amat malang sekali, Hansson membenarkan jaringan tersebut sekalipun dibantah keras oleh Arsenal.

Kemenangan itu membolehkan Porto, juara Eropah 2006 membawa bekalan apabila berkunjung ke London untuk perlawanan kedua di Stadium Emirates, 9 Mac ini.

Bagi pengurus Arsenal, Arsene Wenger tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut adalah satu kesilapan besar.

“Saya percaya ia (hantaran ke belakang) tidak disengajakan oleh Sol, dia tersentuh bola secara tidak sengaja.

“Malah, pengadil juga sepatutnya memberikan kami masa untuk membuat tembok pemain dan bukan membenarkan lawan mengambil sepakan yang pantas pada ketika pemain kami belum lagi bersedia,’’ ujar Wenger kepada televisyen Britain.

Kapten Arsenal, Cesc Fabregas pula berkata, pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi ekoran kesilapan tidak sepatutnya.

“Bila anda melepaskan gol seperti ini, anda tidak boleh pergi ke mana-mana. Kesilapan budak sekolah, apa yang boleh anda lakukan ?,’’ kata Fabregas.

Jaringan tersebut juga menenggelamkan penampilan pertama Campbell dalam kancah Eropah, empat tahun selepas beraksi buat kali pertama buat Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Ia sepatutnya menjadi malam indah buat Campbell selepas menjaringkan gol penyamaan yang cantik, tujuh minit selepas jaringan pembukaan Porto.

“Keputusan ini tetap baik buat Arsenal kerana mereka menjaringkan gol di tempat lawan,’’ kata pengurus Porto, Jesualdo Ferreira. – AP

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena