Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 23, 2010

Piala AFC: Jaguh Vietnam merendah diri jumpa Selangor (Utusan Malaysia)

PETALING JAYA - Becamex Binh Duong lebih gemar merendah diri sambil menyifatkan Selangor pasukan handalan dan mencabar pada saingan Kumpulan F Piala AFC, malam ini.

Menyedari Gergasi Merah memiliki ramai pemain kebangsaan termasuk yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kelab Vietnam itu enggan melabel diri mereka selaku pasukan pilihan dalam pertembungan di Stadium Shah Alam nanti.

Jurulatih Becamex, Mai Duc Chung berkata, mereka turut mendapat tahu bahawa Selangor memiliki rekod silam hebat di arena tempatan sebagai juara Piala Malaysia apatah lagi setelah mengharungi tujuh perlawanan Liga Super dengan lima kemenangan musim ini.

"Memang kami ada tiga pemain import dari Afrika Selatan, Brazil dan Nigeria tetapi ia bukan bererti lawan tidak sehebat mana. Selangor pasukan yang gagah dan kami perlu mengerah yang terbaik dan mungkin melebihi 100 peratus apabila berdepan mereka.

"Perlu juga diingat bahawa tuan rumah ada beberapa pemain yang memenangi emas Sukan SEA lalu dengan menewaskan pasukan bawah 23 tahun negara kami," katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan di Yayasan FAS, Kelana Jaya, semalam.

Kata Duc Chung, tiga pemain import itu ialah penyerang dari Brazil, Elenildo De Jesus; penyerang dari Afrika Selatan, Philani Kubheka dan pertahanan Nigeria, Egbo Osita selain seorang lagi dari Brazil, Kesley Huynh Alves yang mendapat kerakyatan Vietnam.

"Turut beraksi bersama kami ialah dua pemain kebangsaan, Huynh Quang Thanh (ketua pasukan dan pertahanan) dan pemain tengah, Nguyen Vu Phong. Setakat ini kami mendahului Liga Vietnam dengan dua kemenangan, 6-2 dan 2-1," jelasnya.

Becamex pada musim lalu, menurutnya, hanya bergelar naib juara Liga Vietnam selain mara ke separuh akhir Piala AFC termasuk memiliki rekod membelasah Kedah yang ketika itu dibimbing oleh Azraai Khor Abdullah, 8-2 pada pusingan kedua.

"Kami menang besar ketika itu mungkin kerana Kedah yang memilih untuk tidak bermain bersungguh-sungguh (selepas kalah dalam perlawanan pertama) malah mungkin kami hanya dibantu dengan sedikit tuah," katanya.

Tonggak kebangsaan dalam Selangor ialah Asraruddin Putra Omar, Bunyamin Umar, Nasriq Baharom, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal manakala mereka yang berpengalaman Piala AFC 2006 - aksi terakhir Selangor dalam kejohanan itu ialah P. Gunalan, Amri Yahyah dan D. Surendran.

Sependapat dengan Duc Chung mengenai kemenangan besar Becamex ke atas Kedah itu ialah jurulatih Selangor, K. Devan yang menegaskan, keputusan dan statistik lalu tidak boleh dibuat perbandingan lagi. Kali ini situasi dan permainannya sudah berbeza.

"Saya masih percaya Selangor mampu mencapai keputusan yang baik kerana jika ditolak kelebihan tiga pemain asing (selain satu yang diberikan kerakyatan Vietnam) milik lawan, taraf bola sepak kita dengan kelab Vietnam masih boleh dianggap seimbang.

"Selangor memerlukan satu strategi yang tepat untuk mengekang pemain asing mereka. Jika ini berjaya dibuat, peluang mendapat keputusan baik bakal lebih cerah walaupun tahap kekuatan lawan di atas padang sukar dinilai lagi," katanya.

Amri, ketua pasukan Selangor pula berkata: "Kami hanya mahu mencuba yang terbaik tanpa mengira siapa yang dapat menjaringkan gol dan bermain sebagai sebuah pasukan sepanjang 90 minit perlawanan ini."

Gergasi Merah tampil selaku wakil tunggal Malaysia dalam Piala AFC setelah menjuarai Liga Super musim 2009, malah menggondol Piala FA, manakala Perlis yang ditawarkan atas kelayakan naib juara, menolaknya dan tidak digantikan oleh mana-mana pasukan lain.

Tiket-tiket bagi menyaksikan perlawanan Selangor-Becamex Binh Duong di Stadium Shah Alam malam ini berharga RM10 bagi penonton dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Barisan kemungkinan Selangor:

Hamsani Ahmad, Razman Roslan, Khairul Anuar Baharum, P. Gunalan, Nasriq Baharom, Safiq Rahim, Safee Sali, R. Surendren, Amirulhadi Zainal, Amri Yahyah, Farderin Kadir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena