Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 25, 2010

Mohamad kekal Presiden PBNS, menang tanpa bertanding (Utusan Malaysia)

SEREMBAN - Datuk Seri Mohamad Hasan kekal menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) pada sesi pemilihan tahun 2010-2011 yang diadakan di sini, semalam.

Mesyuarat agung tahunan ke-79 itu, menyaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan itu menang tanpa bertanding.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Md. Ali Hasan pula mengambil alih jawatan timbalan presiden daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor yang tidak mempertahankan jawatan itu.

Sementara itu, jawatan naib presiden pula menyaksikan persaingan antara tiga orang calon iaitu Datuk Ismail Lasim, Datuk Ab. Radzak Ab. Rahman dan T. Loganathan.

Pencalonan Loganathan ditolak akibat masalah teknikal dan secara automatik, Ismail serta Ab. Radzak menang tanpa bertanding jawatan tersebut.

Sementara itu, Ismail sewaktu berucap pada majlis berkenaan berkata, tahun 2009 mencatatkan sejarah indah bagi bola sepak negeri ini, kerana berjaya merangkul piala prestij, Piala Malaysia selepas 61 tahun menanti.

''Tanpa komitmen dan usaha bersama persatuan bola sepak di negeri ini, pasukan bola sepak kita tidak akan mampu merangkul piala berprestij ini.

''Ia memberikan rangsangan dan dorongan kepada pemain pelapis.

''Ini sekali gus membakar semangat mereka dalam beraksi pada perlawanan yang lebih berprestij lagi," katanya.

Ismail mewakili Mohamad yang ketika ini berada di luar negara untuk lawatan kerja di negara Timur Tengah.

Katanya, selain memberi tumpuan pada piala di peringkat nasional, kejohanan Piala Presiden tidak boleh dipandang sebelah mata.

''Dalam Piala Presiden, ramai bakat-bakat muda dapat ditonjolkan dan digilap untuk mewakili skuad utama di negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, undian juga turut dilakukan bagi memilih lapan kelab gabungan PBNS, yang menduduki kerusi Ahli Majlis PBNS.

Kelab berkenaan ialah Kelab Sukan Majlis Perbandaran Seremban (MPS); Kelab Sukan Polis Daerah Seremban; Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Sembilan; Kelab Sukan Wan Mei; Kelab Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS); Kelab Sukan Jabtan Kerja Raya Negeri Sembilan dan Kelab Sukan Yayasan Negeri Sembilan.

Ismail berkata, sukan futsal kini mendapat perhatian di hati pemuda di negeri ini dan pihak persatuan akan mengadakan Pertandingan Futsal Piala Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...