Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, February 19, 2010

Gallas 'kereta kebal' Perancis (Kosmo)


DOMENECH (kiri) memberi kepercayaan kepada Gallas untuk mengemudi benteng pertahanan Perancis.


JIKA dibuat penilaian, William Gallas sudah pasti menjadi pilihan utama jurulatih Perancis, Raymond Domenech untuk mengetuai benteng pertahanan skuad Les Bleus.

Ketika kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan berlangsung kira-kira empat bulan lagi, Domenech tentunya mempunyai strategi paling ampuh bagi menghadapi kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Andai dilihat pada barisan pemain yang bakal mengemudi jentera serangan Perancis nanti, ia sudah cukup untuk menggerunkan benteng pertahanan pihak lawan.

Kehebatan Thierry Henry, Karim Benzema, Nicolas Anelka, Florent Malouda serta Abu Dhiaby tidak perlu dipersoalkan lagi.

Bagaimanapun, Domenech tetap menganggap kehebatan jentera serangan yang dimilikinya itu tidak akan dapat memberi apa-apa kelebihan jika tidak disokong benteng pertahanan.

Kali ini, bekas jurulatih Lyon itu akan memberi tumpuan terhadap barisan pertahanannya bagi memastikan skuad Les Bleus mempunyai kekuatan yang seimbang di semua bahagian.

Yang pasti, Gallas sekali lagi akan diberi kepercayaan oleh Domenech untuk mengetuai benteng pertahanan Perancis daripada dibolosi gol oleh pihak lawan.

Kebijaksanaan tonggak Arsenal itu membaca setiap gerakan berbahaya daripada pihak lawan merupakan salah satu faktor mengapa dirinya sentiasa menjadi pilihan utama Domenech.

Untuk rekod, bekas bintang Chelsea itu membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa pada tahun 2002.

Sejak itu, dia terus mendapat kepercayaan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Perancis termasuk ketika membantu Les Bleus layak ke final Piala Dunia 2006 di Jerman.

Kelibat Gallas pada kempen Piala Dunia kali ini pastinya merisaukan barisan penyerang lawan Perancis pada peringkat kumpulan - Afrika Selatan, Mexico dan Uruguay.

Kualiti serta pengalaman yang ada pada Gallas dianggap suatu kelebihan buat Perancis selain dia turut berkemampuan menjaringkan gol.

Terbaru, Gallas muncul wira Perancis apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan playoff pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Republik Ireland.

Sekalipun kemenangan tersebut dibelenggu kontroversi tetapi ia sudah memadai buat Perancis layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Pada kempen di Afrika Selatan nanti, Gallas sekali lagi dijangka bergandingan dengan tonggak berpengalaman dalam misi mereka memperkuatkan kubu pertahanan Les Bleus.

Gallas hampir pasti bergandingan bersama Julien Escude di posisi pertahanan tengah sambil dibantu oleh Patrice Evra di pertahanan kiri manakala Bacary Sagna di sebelah kanan.

Perancis turut akan diperkuatkan dengan beberapa pemain pertahanan lain seperti Sebas-tien Squillaci, Rod Fanni, Eric Abidal dan Aly Cissokho yang sentiasa bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sahaja.

"Saya akui barisan pemain yang kami miliki kali ini boleh dianggap antara yang terbaik tetapi masih ada lagi waktu buat kami memperbaiki kelemahan yang ada.

"Kami tidak boleh terlalu yakin dengan barisan pemain hebat yang kami miliki ketika ini kerana dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi.

"Justeru saya akan memastikan yang kami benar-benar bersedia sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2010 nanti," jelas Domenech. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...