Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 11, 2010

City kian bersemangat buru tempat keempat liga (Utusan Malaysia)


Penyerang Manchester City, Carlos Tevez (kanan) dicabar oleh pemain tengah Bolton, Jack Wilshire pada perlawanan Liga Perdana England di Stadium Manchester, semalam.
- AFP


MANCHESTER, England - Roberto Mancini memuji pemainnya selepas Manchester City mendapat suntikan semangat untuk menduduki tempat keempat liga musim ini selepas menang 2-0 ke atas Bolton, semalam.

Carlos Tevez, yang menyempurnakan sepakan penalti dan jaringan Emmanuel Adebayor menjaringkan gol bagi memastikan tiga mata penuh perlawanan di Eastlands.

Perlawanan kelmarin turut menyaksikan prestasi luar biasa dua pemain yang pertama kali diturunkan di sepanjang perlawanan.

Pemain sayap skuad bawah 21 England, Adam Johnson, 22, membuktikan dia tidak mampu dihalang daripada beraksi sepenuh perlawanan dan berjaya memberikan penalti untuk Tevez memberikan City mendahului perlawanan.

Sebaris dengannya di posisi tengah ialah pemain antarabangsa Perancis, Patrick Vieira, juga membuat kemunculan sulung sepenuh masa bersama kelab terkaya di dunia itu dengan aksi cemerlang, termasuk melakukan hantaran untuk membuka gerakan gol kedua.

"Dia bermain sangat baik, sebab itu saya membawa dia ke kelab ini,'' kata Mancini mengenai Johnson, yang dibeli dari Middlesbrough pada tempoh perpindahan pemain bulan Januari.

"Apabila anda seorang pemain muda dan mahu beraksi baik, anda berpeluang melakukannya dan sebab itu perlawanan ini amat penting baginya.

''Dia melakukan tindakan baik sehingga kami mendapat penalti dan terus menyerlah selepas itu.

"Dia boleh belajar beraksi di belakang penyerang, di posisi sayap kanan, di sebelah kiri, dia boleh bermain dalam pelbagai posisi berbeza, berdepan situasi sukar dan dia akan menjadi pemain penting buat kami.

"Saya gembira terhadap Patrick, kerana ini adalah perlawanan pertama sepenuh masa dan dia melaluinya tanpa masalah.

''Saya amat mengenali Patrick, saya tahu dia boleh beraksi lebih baik.

"Orang bercakap mengenai umurnya, tetapi saya sendiri bermain bola sepak sehingga umur 36 tahun, saya beraksi sangat baik.

''Ketika saya berusia 36 tahun, saya memenangi Scudetto dan Piala Itali.

''Saya harap Patrick boleh beraksi 15 perlawanan berikutnya untuk saya,'' kata Mancini.

Kemenangan semalam membolehkan City mendahului tiga kelab lain dalam saingan untuk tempat keempat, iaitu slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan.

Seperti juga City, lain-lain pasukan iaitu Liverpool, Aston Villa Tottenham gagal mengekalkan rentak konsisten dan Mancini berkata, apabila tumpuan dalam Piala FA berakhir pada hujung minggu ini, pasukannya perlu fokus untuk mencatat keputusan yang bagus, terutama jika melibatkan perlawanan di luar Eastlands.

"Ini penting untuk kami berada pada kedudukan keempat liga.

''Kami bakal berdepan lawan sukar di Stoke pada Selasa ini, dan kami perlu menang perlawanan tersebut, jika kamu mahu menamatkan liga di tempat keempat.

''Kami berada pada kedudukan baik sekarang, dan masih kurang beberapa perlawanan, namun kami harus terus meningkat.

Sementara itu, kebimbangan pengurus Bolton, Owen Coyle menjadi kenyataan ,apabila pasukannya hanya menang satu daripada enam perlawanan sejak dia membimbing kelab itu.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan tetapi kecewa kerana gagal meraih mata.

"Kami beraksi menentang sebuah pasukan yang dibentuk dengan kos 300 juta pound.

"Berdasarkan perlawanan yang telah kami harungi, dua kali menentang Arsenal, beraksi di tempat lawan menentang Liverpool, menentang Man City di padang mereka, kami akui satu mata yang kami dapat merupakan bonus,'' katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...