Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 11, 2010

Aksi hambar, The Professor 'direhatkan' (Utusan Malaysia)

JOHOR BAHRU - Persembahan hambar skuad Johor, yang menyebabkan pasukan itu menduduki tempat tercorot Liga Super, memaksa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengambil tindakan drastik dengan 'merehatkan' ketua jurulatih, Nasir Yusof atau The Professor.

Naib Presiden 1 PBNJ, Datuk Abd. Aziz Sapian, yang mengesahkan perkara tersebut berkata, turut direhatkan ialah dua penolong Nasir, Kamaruddin Ahmad dan Salehan Md. Som.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan surat kepada ketiga-tiga jurulatih berkenaan, sebaik selesai perlawanan kelmarin, yang menyaksikan Johor tewas 0-3 kepada T-Team di gelanggang sendiri.

Tindakan drastik itu diambil kerana ketiga-tiga pembimbing skuad Johor itu dilihat gagal menjalankan tugas seperti yang diharapkan bagi memastikan Johor tidak terus kecundang dalam saingan musim ini.

Malah, kegagalan Nasir membuat laporan 'post mortem' pada setiap perlawanan, selain tidak menyediakan jadual latihan yang tersusun apabila diminta oleh pihak pengurusan amat mengecewakan Jawatankuasa Eksekutif PBNJ.

"Saya agak kecewa apabila Nasir mengatakan tiada kerjasama yang diberikan oleh pihak pengurusan kepada skuad Johor, kerana saya telah memberi kebebasan kepadanya untuk membimbing pasukan mengikut caranya sendiri.

"Bagaimanapun, apabila pengurusan meminta laporan pencapaian pasukan, namun tiada sebarang maklumat yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih baru di pejabat persatuan berkenaan di sini semalam.

Ini merupakan kali kedua Nasir direhatkan apabila tindakan yang sama dilakukan oleh pengurusan lama PBNJ, pada saingan Piala Malaysia musim lalu.

Abd. Aziz berkata, tempat ketiga-tiga jurulatih itu akan digantikan dengan jurulatih, Edres Selamat yang dibantu oleh Wan Mustafa Wan Ismail, bagi membimbing skuad Johor dalam saingan liga yang akan bersambung Mac depan.

Pihaknya turut meminta pandangan daripada pemain dan keseluruhannya amat berpuas hati dengan rombakan terbaru itu yang dilihat dapat memberi nafas baru kepada pasukan tersebut.

"Saya percaya Edres dan Wan Mustafa dapat memberikan sinar baru bagi pasukan Johor yang sudah bosan dengan kekalahan selain dianggap sebagai pasukan belasahan," katanya.

Sementara itu, Edres berkata, dia dan Wan Mustafa optimis untuk mencipta kejutan dalam saingan Liga Super yang masih berbaki 20 perlawanan.

Katanya, tempoh rehat selama lebih tiga minggu sebelum perlawanan menentang Kuala Lumpur pada 6 Mac, depan akan digunakan sebaik-baiknya untuk mempersiapkan pemain dari segi fizikal dan mental.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...