Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, October 29, 2009

Misi berbeza Irfan, Sathia (Berita Harian Online)


Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhsukan@bharian.com.my


Irfan Bakti (kiri) dan B Sathianathan

Buru tiket final di Bukit Jalil

DI ATAS kertas, Kelantan sudah sebelah kaki melangkah ke final, tetapi jurulatihnya, B Sathianathan, menganggap cabaran berliku masih menanti sebelum kaki kedua dapat melangkah sama.

Pada ketika sama, rakan sejawatnya dari Perlis, Irfan Bakti Abu Salim, memberi amaran yang skuad Singa Utara menjanjikan kebangkitan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kangar, Sabtu ini.


Ketika Sathia mengakui anak didiknya beraksi di bawah tahap sebenar dan sekadar bernasib baik mencatatkan kemenangan ketika beraksi di depan 25,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin, Irfan pula menyesali ketumpulan jentera serangannya dalam menyempurnakan setiap peluang terhidang.

"Kami tidak bermain dengan baik. Namun, saya gembira kerana walaupun tidak bermain baik, kami menang dengan kelebihan dua gol. Memang kelebihan kini berada di pihak kami, tetapi kalau kami boleh menjaringkan dua gol di sini, Perlis juga boleh membalasnya di Kangar.

"Sepatutnya pemain saya menggunakan sorakan padu penyokong sebagai pembakar semangat untuk menunjukkan persembahan terbaik, tetapi ia tidak berlaku dan saya harap situasi ini akan berubah ketika kami ke Kangar nanti," katanya.

Namun, perancangan Kelantan bagi saingan kedua itu terencat apabila kehilangan kapten pasukan yang sudah menjaringkan 10 gol dalam kancah Piala Malaysia, Indra Putra Mahayuddin, kerana penggantungan satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning.

"Tanpa Indra, saya perlu membuat percaturan baru, perlawanan kedua nanti pasti sukar apa lagi malam ini (kelmarin) Perlis lebih menguasai perlawanan terutama babak pertama yang jelas membuktikan kekuatan mereka selaku naib juara Liga Super," katanya.

Irfan pula melaungkan amaran betapa barisan pemainnya akan melakukan sesuatu bagi mengimbangi semula defisit jaringan, seterusnya membuka semula laluan ke pentas final.

"Saya beri jaminan Perlis akan melakukan sesuatu. Memang kelebihan dua gol yang dimiliki Kelantan itu agak selesa, tetapi kami akan berjuang habis-habisan ketika turun beraksi di tempat sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...