Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 28, 2009

Malaysia kempunan raih kejuaraan badminton remaja dunia (Utusan Malaysia Online)

ARKIB : 27/10/2009

ALOR SETAR - Impian Malaysia untuk merangkul kejuaraan dunia tidak kesampaian selepas tumbang kepada juara bertahan, China pada perlawanan akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

Pada perlawanan akhir itu, skuad negara tewas 0-3 dalam saingan yang jelas dikuasai China.

Kejayaan China itu merupakan kali keempat selepas memenangi acara berpasukan itu pada tahun-tahun 2004, 2007 dan 2008.

Mata kemenangan pasukan China disumbangkan menerusi pasangan beregu campurannya, Lu Kai-Bao Yixin, Tian Houwei (perseorangan lelaki) dan beregu lelaki, Lu Kai-Liu Peixuan.

Meskipun diiringi sorakan padu penonton, pemain muda negara tidak berupaya meruntuhkan tembok besar China sejak awal permainan lagi apabila pasangan Ow Yao Han-Ng Hui Ern tewas mudah kepada pasangan Lu Kai-Bao Yixin 5-21, 19-21 dalam acara beregu campuran.

Harapan untuk menyaksikan Malaysia mengimbangi kedudukan mata menerusi pemain perseorangan lelaki, Muhammad Syawal Mohd. Ismail yang diturunkan selepas naib juara remaja Asia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tidak cergas sepenuhnya akibat keracunan makanan, berkecai apabila dihampakan Houwei.

Walaupun dilihat mampu menyaingi juara remaja Asia itu, Muhammad Syawal terpaksa akur dengan kekalahan 15-21, 23-25 bagi menjadikan kedudukan mata 2-0 kepada China.

Sandaran kepada pasangan beregu lelaki negara, Yao Han-Chooi Kah Ming untuk mencuri satu mata juga tidak kesampaian dengan kekalahan dalam permainan tiga set 12-21, 21-18, 17-22 kepada pasangan Lu Kai-Liu Peixuan.

"Secara peribadi saya agak kecewa kerana gagal merangkul kejuaraan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri. Pemain-pemain China beraksi lebih baik malam ini (malam tadi) dengan mempunyai pasukan yang kuat.

"Namun kekalahan ini akan dijadikan pengajaran dan pendorong kepada pemain-pemain untuk melakukan yang terbaik dalam acara individu selepas ini," kata ketua jurulatih, Sun Chenhua semalam.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Dalam pada itu, cabaran pemain-pemain muda negara diteruskan apabila acara individu membuka gelanggangnya bermula esok sehingga 1 November ini.

Pada kejohanan sama di Pune, India tahun lalu, Malaysia membawa pulang kejuaraan beregu lelaki menerusi pasangan Mak Hee Chun-Teo Kok Siang dan sandaran untuk mempertahankan gelaran itu kini digalas pasangan Yao Han-Kah Ming serta Pang Zheng Lin-Goh Jian Hao.

Chenhua berkata, bagi acara perseorangan lelaki individu, semua empat pemain iaitu Iskandar, Muhammad Syawal, Zulfadli Zulkifli dan Misbun Ramadan Misbun disasarkan mara ke peringkat separuh akhir dalam pada menanti kejutan perseorangan wanita, Tee Jing Yi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...