Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, October 28, 2009

Kelantan, NS buka laluan final


Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhsukan@bharian.com.my


PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (tengah) dikepung pertahanan Perlis dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Red Warriors dapat modal selesa, anak didik Wan Jamak Wan Hassan depan ranjau

NAIB juara Piala FA, Kelantan semakin hampir menempah tiket ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama sejak 39 tahun lalu, sesudah meraih kelebihan dua gol ke atas bekas juara, Perlis dalam saingan separuh akhir pertama, malam tadi.

Jaringan pada setiap babak menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Rizal Fahmi Rosdi sudah cukup menggembirakan lebih 25,000 penyokong tuan rumah yang membentuk ‘Lautan Merah’ di Stadium Sultan Muhammed IV, untuk dijadikan bekalan sebelum skuad The Red Warriors bertandang ke Kangar, Sabtu ini.

Namun mulanya ia tidak kelihatan begitu dengan rentak tari awal memihak Perlis yang mencipta dua peluang pada 10 minit pertama tetapi rembatan Ahmad Fakri Saarani, selepas melakukan gerakan solo diselamatkan penjaga gol Kelantan, Halim Napi manakala lencongan Nizaruddin Yusof pula sedikit melewati palang.


Hanya selepas 18 minit aksi, Kelantan memperoleh peluang terbaik membuka jaringan tetapi tandukan padu dari jarak dekat Khairan Eroza Razali yang menerima hantaran lintang Indra Putra, sempat dikuis keluar penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Marlias.

Empat minit kemudian, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti selepas Indra dikasari pertahanan lawan dan kapten tuan rumah itu tenang menyempurnakannya, sekali gus dentuman bunga api mengiringi gol berkenaan.

Babak kedua menyaksikan persembahan Perlis lebih tersusun dengan gerakan pantas dari sebelah tepi yang sekali sekala mencemaskan pintu gol tuan rumah sehingga memaksa jurulatih Kelantan, B Sathianathan kerap kali bangun dari tempat duduknya.

Namun ketika Perlis lebih banyak mengasak, Kelantan berpeluang menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-61 tetapi tandukan pemain pertahanan, Nazrulerwan Makmor yang menerima hantaran dari sepakan percuma Khairan Eroza, sedikit tersasar.

Bagaimanapun, ketika permainan memasuki masa kecederaan, Kelantan akhirnya menemui sentuhan penamat yang diimpikan apabila Mohd Rizal, yang menerima sepakan penjuru Khairan Eroza, melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kedua.

--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena